Kes positif Covid-19 kembali tiga angka hari ini

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes baharu positif koronavirus (Covid-19) di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu kembali mencatatkan tiga angka iaitu sebanyak 940 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 59,817 kes.

"Jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 46,501 kes atau 77.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 12,971 kes.

"Bagaimanapun, Malaysia mencatatkan 2,348 kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 hari ini dan yang tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh 24 jam," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Menurutnya, Negeri Sembilan melaporkan kes harian tertinggi dengan 318 kes (32.8 peratus), diikuti Sabah (293 kes / 30.2 peratus) dan Selangor (115 kes / 11.9 peratus).

"Peningkatan kes di Negeri Sembilan banyak dipengaruhi kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Bakti yang melaporkan sebanyak 301 kes (94.7 peratus).

"Sebanyak 318 kes (32.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di penjara yang membabitkan Kluster Bakti (301 kes), Kluster Tembok (12 kes), Kluster Matambai (tiga kes), Kluster Penjara Sandakan (satu kes), dan Kluster Penjara Reman (satu kes)," katanya.

Katanya, daripada 970 kes baharu hari ini, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 965 kes adalah penularan Covid-19 dalam negara.

"Perak mencatatkan 80 kes baharu, Kuala Lumpur (44), Johor (30), Pulau Pinang (14), Kedah (24), Kelantan (lapan), Labuan (37), Sarawak (dua kes), Pahang (dua kes) dan masing-masing satu kes di Melaka, Terengganu dan Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga kini, terdapat 110 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 47 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Menurutnya terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 345 kes (0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Memperincikan perkara itu, beliau berkata, kesemua mangsa adalah perempuan membabitkan seorang warganegara di Pulau Pinang, manakala tiga lagi bukan warganegara di Sabah (dua orang) dan Labuan (seorang). - Bernama