Pekerja asing layak jalani ujian Covid-19 dengan subsidi

x-default
x-default
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pekerja asing yang mempunyai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bekerja di beberapa negeri layak menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) secara subsidi di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) Perkeso.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataan hari ini berkata, tarikh kuat kuasa akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

Menurutnya, Sidang Khas MKN pada 20 November lepas memutuskan semua pekerja di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, wajib menjalani ujian saringan Covid-19.

"Ujian saringan yang menggunakan kaedah RTK Antigen ini perlu dijalankan di klinik atau hospital yang berdaftar sebagai Klinik Panel Program Saringan Kesihatan Perkeso (HSP).

"Direktori klinik panel boleh dirujuk di Portal PSP (https://psp.perkeso.gov.my) dan kos saringan hendaklah dibayar majikan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan subsidi PSP daripada Perkeso," katanya.

Katanya, Perkeso akan membuat bayaran subsidi sehingga RM60 bagi setiap ujian saringan Covid-19 yang dijalankan dengan bayaran itu hanya dibuat sekali sahaja untuk setiap pekerja.

"Di samping itu, majikan perlu mengambil langkah proaktif dalam mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dikuatkuasakan Kementerian Sumber Manusia bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka," katanya.

"Maklumat lanjut berkenaan program itu akan dikemas kini di Portal PSP Perkeso (https://psp.perkeso.gov.my), manakala sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Perkeso melalui e-mel hsp@perkeso.gov.my atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: