Top Glove diarah saring, kuarantin 2,263 pekerja di luar PKPD

Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kementerian Pertahanan hari ini. Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kementerian Pertahanan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) diarah melakukan saringan koronavirus (Covid-19) ke atas 2,263 pekerjanya yang tinggal di luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah bergerak bagi mengelak penularan wabak tersebut di kawasan komuniti.

“Sebelum ini, mereka ada asrama pekerja lelaki serta perempuan dan rumah yang disewa di kawasan yang dikenakan PKPD, tetapi ramai juga pekerja tinggal di tempat lain. Jadi kita sudah arahkan syarikat buat saringan kepada pekerja ini dan dikuarantin.

"Penduduk di kawasan sekitar tidak perlu bimbang sebab pekerja Top Glove disaring dan ditempatkan di pusat kuarantin,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, kesemua pekerja Top Glove yang positif Covid-19 dihantar ke hospital, manakala yang negatif dikuarantin di hotel yang telah ditetapkan iaitu Hotel Gold Coast, Kelang Sentral dan stadium di Pandamaran. - Bernama

Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah pasukan petugas diwujudkan bagi menyelaras gerak kerja melibatkan proses saringan, kuarantin dan penutupan kilang Top Glove dianggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pejabat Daerah Klang, Majlis Perbandaran Klang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang.

“Pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan pasukan Task Force khas yang ditubuhkan akan sentiasa memantau dan membuat penilaian dari masa ke masa.

"Kerajaan juga mengarahkan 28 kilang syarikat itu ditutup secara berperingkat bagi membolehkan pekerja menjalani saringan serta proses kuarantin dan sehingga semalam 20 kilang ditutup, tujuh kilang ditutup hari ini dan satu lagi kilang akan menyusul (ditutup),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sehingga 24 November sebanyak 5,795 ujian saringan dilakukan daripada 11,215 jumlah keseluruhan pekerja dan seramai 2,684 kes positif di kawasan PKPD direkodkan.

“Semalam, jumlah kumulatif kes di seluruh negara adalah sebanyak 2,188 dan daripada jumlah itu, 1,623 kes direkodkan di Selangor dan sebanyak 1,511 merupakan kes positif Covid-19 daripada kluster yang melibatkan kilang Top Glove.

"Jumlah kes di kilang Top Glove merupakan penyumbang jumlah tertinggi kes Covid-19 di Selangor dan seluruh negara,” katanya. - Bernama