Kadar pengangguran Terengganu meningkat

Mohd Nurkhuzaini
Mohd Nurkhuzaini
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kadar pengangguran di Terengganu meningkat kepada 3.8 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 3.3 peratus pada suku pertama tahun 2020.

Exco Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, peningkatan itu impak pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia.

Bagaimanapun, menurutnya, angka itu masih rendah berbanding kadar pengangguran dalam negara iaitu 5.1 peratus.

“Pada tahun 2018, kadar pengangguran Terengganu adalah 4.8 peratus tertinggi di Semenanjung Malaysia.

“Pada tahun 2019, kadar ini turun kepada 3.5 peratus dan terus turun pada suku pertama 2020 kepada 3.3 peratus, lebih rendah daripada kadar pengangguran Malaysia iaitu 3.5 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Hilmi Harun (Pas-Manir) tentang usaha kerajaan bagi terus mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini terutama pada pasca Covid-19 pada Persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Mohd Nurkhuzaini berkata, perkembangan itu menjadi petanda Terengganu sedang menuju ke arah yang betul dan kerajaan negeri akan berkolaboratif dengan pelbagai agensi dan syarikat bagi memastikan rakyat mendapat peluang pekerjaan baik.

Katanya, kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (T-HRDC) telah bekerjasama dengan lebih 20 agensi dalam melaksanakan program padanan kerja antara majikan dan pekerja selain mewujudkan latihan bidang kerjaya baharu.

Artikel Berkaitan:

"Antara agensi itu adalah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Tenaga Kerja, Job Malaysia, Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu (Tesdec), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC).

“T-HRDC juga mengadakan kerjasama dengan majikan dan persatuan industri yang perlukan pekerja seperti Majlis Minyak dan Gas Terengganu (TOGC) terdiri daripada 40 syarikat dalam bidang minyak dan gas dan syarikat pembuatan komponen automatif,” katanya.