Hampir 600 kenderaan diarah patah balik

Polis Kelantan bertegas dalam melaksanakan 20 sekatan jalan raya ketika PKBP yang dilaksanakan semula di seluruh negeri itu bagi mengekang penularan Covid-19.
Polis Kelantan bertegas dalam melaksanakan 20 sekatan jalan raya ketika PKBP yang dilaksanakan semula di seluruh negeri itu bagi mengekang penularan Covid-19.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 558 kenderaan dihalang daripada memasuki Kelantan dan diarah berpatah balik berikutan tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri selain tiada alasan munasabah untuk berbuat demikian.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya serius untuk menyekat penyebaran pandemik koronavirus (Covid-19) di negeri itu.

“Sebanyak 558 kenderaan diarah patah balik dan tidak memasuki negeri ini kerana tiada surat kebenaran polis serta tidak ada alasan munasabah.

“Kami mengharapkan seluruh rakyat khususnya di Kelantan supaya mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan (JKKNK) di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah itu direkodkan sehingga hari kelima pelaksanaan PKPB di Kelantan dan setakat ini pihaknya sudah menambah sekatan jalan raya menjadikan keseluruhannya sebanyak 20 sekatan.

Menurutnya, sejumlah 250 anggota bertugas di keseluruhan sekatan jalan raya pada satu-satu masa bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula semalam.

“Budaya Kelantan suka jaley (bersiar-siar), tetapi kami minta untuk PKPB dalam tempoh dua minggu ini mengharapkan tidak ada keluar masuk kawasan ke kawasan kerana kita mahu putuskan rantaian Covid-19 secepat mungkin.

“Dalam tempoh terdekat, ada sedikit pengurangan dalam tindakan kompaun yang menampakkan kesedaran tinggi. Apabila kompaun rendah maknanya, kesalahan itu dah makin kurang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Shafien berkata, pihaknya juga mengeluarkan sejumlah 1,420 kompaun dalam tempoh itu bagaimanapun tahap pematuhan SOP PKPB di Kelantan semakin meningkat berbanding hari pertama dan kedua dengan jumlah kenderaan berkurangan serta tidak sesak.

“Dalam 50 peratus pengurangan kenderaan di jalan raya selainnya mereka yang bertugas rasmi dan sebagainya.

“Justeru, ingin saya ingatkan kalau tidak ada urusan yang sangat penting maka duduklah di rumah. Sekarang nak pesan makan, gunalah Foodpanda dan sebagainya.

“Kalau kita tetap bergerak keluar daerah, keluar kawasan sana sini akan lebih menyukarkan usaha pihak berkuasa mengawal keadaan pandemik,” katanya.