JKM laksana inisiatif pengecualian kaji semula bantuan kewangan

Rina Harun
Rina Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaksanakan inisiatif pengecualian kaji semula bantuan kewangan bulanan persekutuan kepada semua penerima bantuan sedia ada di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, inisiatif itu sebagai usaha untuk mempercepatkan proses permohonan bantuan dan mengurangkan birokrasi selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, bagi tujuan itu, perlanjutan bantuan dibuat secara automatik kecuali bagi kes-kes yang boleh ditamatkan berdasarkan maklumat yang sahih.

Katanya, KPWKM komited meneliti proses birokrasi dalam usaha memendekkan tempoh permohonan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Usaha ini bagi memastikan semua penerima dapat menikmati faedahnya secepat mungkin dan akan sentiasa berusaha menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar.

“Kementerian juga mengambil maklum perkara ini dan sentiasa mengambil langkah proaktif bagi mengenal pasti golongan yang memerlukan agar tidak berlaku keciciran.

“Namun, setiap permohonan bantuan akan dibuat siasatan secara terperinci dan pertimbangan bantuan adalah mengikut kriteria dan syarat yang telah ditetapkan di dalam Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kewangan Persekutuan JKM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rina berkata, sebanyak 222,000 agihan bantuan sosial bakul makanan diagihkan kepada mereka yang memerlukan dalam tempoh PKP susulan penularan koronavirus (Covid-19).

“KPWKM turut dipertanggungjawabkan untuk mengagihkan bantuan bakul makanan yang disediakan di bawah Tabung Bencana Covid-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Sehingga 23 November 2020, Nadma telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM30.6 juta kepada KPWKM secara berperingkat. Bantuan ini juga telah diperluaskan termasuk di kawasan PKP Diperketatkan (PKPD),” katanya.