Bersatu dijangka mansuh jawatan pengerusi

Parti Pribumi Bersatu Malaysia
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Perhimpunan agung tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Sabtu ini dijangka meminda perlembagaan parti itu bagi memansuhkan jawatan pengerusi dan menyelaraskan sistem pemilihan.

Laporan The Malaysian Insight yang memetik sumber berkata, perhimpunan yang berlangsung secara dalam talian itu juga dijangka mengubah cara pemilihan parti.

"Pindaan perlembagaan memansuhkan jawatan pengerusi akan menjadikan presiden sebagai pegawai tertinggi parti.

“Kita mansuhkan selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi bersama parti,” kata sumber tersebut menerusi portal The Malaysian Insight.

Katanya, cadangan tersebut sudah mula diutarakan pada Ogos lalu apabila ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, ia (cadangan) supaya hanya ada seorang pemimpin tertinggi dalam parti tersebut.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan berkata, perlembagaan Bersatu juga akan dipinda untuk membentuk sayap ahli bersekutu bagi bukan Melayu dan bukan bumiputera.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa perhimpunan agung tahunan parti tersebut bakal dilaksanakan melalui sidang video.

“Selain merupakan wadah utama di semua peringkat, perhimpunan agung kali ini juga akan membincangkan hala tuju dan dasar parti dalam aspek ekonomi, politik serta kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, persidangan tersebut bakal disertai perwakilan dari seluruh negara yang berkumpul di pejabat badan perhubungan negeri di Alor Setar, Kedah dan Seremban, Negeri Sembilan serta hotel yang ditetapkan untuk negeri lain.

Sementara itu, seorang lagi sumber dalam parti itu berkata, Bersatu mahu meminda perlembagaan untuk membatalkan sistem pemilihan seorang ahli satu undi, yang pada masa ini dipakai untuk pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian.

Katanya, sistem itu dimasukkan ke dalam perlembagaan melalui perhimpunan agung khas Bersatu pada 2019 bagi pemilihan parti yang berakhir Ogos lalu.

“Perhimpunan agung ini akan meminda perlembagaan parti untuk selaraskan sistem pemilihan,” katanya.