Ahli Parlimen Keningau digesa rujuk Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

Jeffrey - Foto fail Bernama
Jeffrey - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin menggesa Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengingkari arahan kuarantin 14 hari.

Gesaan itu dibuat berikutan Jeffrey memaklumkan menerima surat pelepasan awal bertarikh 23 November ditandatangani pegawai perubatan dari Pejabat Kesihatan Lembah Pantai di sini kelmarin.

"Saya tak merujuk kepada sebarang peraturan kuarantin ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan tetapi apa yang penting, semua ahli Parlimen dari Sabah menerima surat bertarikh 9 Oktober yang meminta MP (ahli Parlimen) dari Sabah kuarantin 14 hari.

“Jadi kenapa Keningau boleh terkecualikan?” soalnya di Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau memaklumkan sudah mengemukakan notis usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi merujuk Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu ke jawatankuasa berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon ketika menjawab perkara itu menjelaskan, Foong Hin perlu menyerahkan cadangan untuk merujuk perkara tersebut kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan supaya tindakan seterusnya dapat diputuskan.

“Rumusannya ialah jika ada cadangan untuk dirujuk pada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, maka perlu tulis kepada kami (Dewan) kerana kita mempunyai jawapan daripada KKM.

“Kota Kinabalu sudah menulis dan dalam pertimbangan kami untuk merujuk apa yang diusulkan itu,” katanya.

Artikel Berkaitan: