Kenduri, program rumah ibadat punca Covid-19 meningkat di Johor

Kebanyakan yang hadir dalam majlis sosial itu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Gambar hiasan. Gambar kecil:R Vidyananthan
Kebanyakan yang hadir dalam majlis sosial itu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Gambar hiasan. Gambar kecil:R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kebanyakan kes positif koronavirus (Covid-19) yang dilaporkan di Johor kebelakangan ini tersebar menerusi majlis sosial seperti kenduri dan program di rumah ibadat.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyananthan berkata, kebanyakan yang hadir dalam majlis sosial itu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita dapati mereka tidak lagi mengelakkan 3S iaitu mengelakkan pergaulan di kawasan sempit, mengelakkan keadaan sesak dan mengelakkan sembang rapat.

"Situasi Covid-19 masih lagi membimbangkan, masyarakat dinasihatkan kurangkan aktiviti sosial tidak mematuhi SOP bagi mengurangkan risiko penularan dalam kalangan keluarga dan kenalan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, peningkatan kes yang dilaporkan sehingga kini masih lagi disebabkan pencarian kes secara aktif (ACD) dan pemerhatian aktiviti ACD mendapati kerap berlaku kes bergejala tidak mendapatkan rawatan dengan segera.

"Terdapat 19 kes baharu dilaporkan semalam di negeri ini iaitu lima kes daripada kluster sedia ada, sembilan kes daripada saringan kontak rapat kes positif dan lima kes daripada lain-lain saringan.

"Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 1,119 kes, manakala 952 kes pulih iaitu 85 peratus daripada jumlah keseluruhan kes selain 132 kes aktif yang kini diberikan rawatan di hospital," katanya.

Katanya, terdapat satu kluster baharu dilaporkan di Johor sejak kelmarin iaitu Kluster Kobena yang melibatkan daerah ini.

Artikel Berkaitan:

"Kes indeks adalah kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) yang dilaporkan positif pada 20 November lalu dan sehingga semalam 150 individu disaring termasuk 15 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

"Ini menjadikan 10 kluster yang aktif di Johor sehingga semalam melibatkan Kluster Kobena (mukim Tebrau), Kluster Kota Kecil (mukim Kota Tinggi), Kluster Makmur (mukim Kulai), Kluster Kiambang (mukim Tenggaroh) dan Kluster Parit Kassan (mukim Grisek).

"Termasuk Kluster Jeri (mukim Sedili Besar), Kluster Meldrum (mukim Kota Tinggi), Kluster Bayu (mukim Bandar), Kluster Kempas (mukim Tebrau) dan Kluster Padang (mukim Ulu Sungai Johor)," katanya.

Vidyananthan berkata, pengesanan kontak rapat dan ujian Covid-19 masih lagi giat dijalankan pejabat kesihatan daerah terlibat.

Sementara itu, menurutnya, seramai 2,437 menggunakan skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan 14,227 menggunakan skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) bagi kemasukan dari Singapura sehingga semalam.

"Jumlah kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pengguna skim itu kekal sebanyak tiga kes," katanya.