Tiga daerah di Kedah dilanda banjir

Petugas APM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memeriksa mangsa banjir yang ditempatkan di salah sebuah PPS.
Petugas APM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memeriksa mangsa banjir yang ditempatkan di salah sebuah PPS.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 85 mangsa dari tiga daerah di Kedah dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat yang berlaku pada Isnin lepas.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, kesemua mangsa daripada 23 keluarga berasal dari beberapa kampung di Kubang Pasu, Pokok Sena dan Kota Setar.

“Seramai 29 mangsa daripada enam keluarga dari daerah Kubang Pasu ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Malau. Mereka adalah penduduk dari empat kampung iaitu Kampung Lahar, Kampung Paya, Kampung Paya Tok Teh dan Kampung Biak.

“Di Pokok Sena pula, seramai 12 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Surau Kampung Permatang Limau. Mereka adalah penduduk dari Kampung Pulau dan Kampung Permatang Limah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara di Kota Setar, seramai 44 mangsa daripada 14 keluarga dari tiga kampung iaitu Kampung Suka Menanti, kampung Seberang Pumpong dan Kampung Alor Gunung ditempatkan di SK Suka Menanti di sini.

Menurut Saifuddin, hujan lebat pada Isnin lepas menyebabkan paras air di kawasan yang terjejas naik antara satu hingga dua meter menyebabkan mangsa segera dipindahkan menggunakan lori lima tan milik APM.

Katanya, kebanyakan rumah penduduk yang terjejas terletak di kawasan rendah atau berhampiran sungai menyebabkan paras air naik dengan begitu cepat.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan cuaca baik pada hari ini menyaksikan paras air semakin menurun, namun secara perlahan.

Artikel Berkaitan:

“Buat masa ini, air surut secara perlahan dan sekiranya tidak hujan hari ini, air dijangka surut sepenuhnya hari ini dan mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya yang turut menjelaskan penilaian kerosakan akibat banjir hanya akan dibuat sebaik bencana itu tamat sepenuhnya. - Bernama