Hanya golongan dewasa terima agihan vaksin Covid-19

Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat. Gambar fail.
Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat. Gambar fail.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengagihan vaksin koronavirus (Covid-19) yang dijangka diterima pada suku pertama tahun depan tidak membabitkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, setakat ini pembangunan vaksin itu ke atas golongan terbabit masih belum diuji sebaliknya hanya tertumpu kepada golongan dewasa.

“Mana-mana vaksin Covid-19 yang dibangunkan sekarang belum diuji kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun ke bawah.

“Oleh itu, mereka tidak dapat menerima vaksin pertama pada tahun depan kerana kita akan memberi tumpuan kepada golongan dewasa untuk mencapai tahap imuniti kelompok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang meminta penjelasan hanya 70 peratus rakyat Malaysia akan divaksin sebaik bekalan diperoleh tahun depan.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, pelan komunikasi strategik sedang dirangka bagi menyampaikan maklumat mengenai vaksin termasuk bagi menangani gerakan anti-vaksin.

“Jawatankuasa Kecil Komunikasi (JKK) yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), MOSTI dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berperanan menyampaikan maklumat strategik berkenaan vaksin kepada negara dan rakyat serta kepada khalayak sasaran yang tepat berhubung vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Pelan komunikasi ini juga akan melibatkan pelbagai kumpulan masyarakat seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agamawan, ketua komuniti serta pihak swasta bagi memastikan penerangan jelas berkaitan vaksin ini dapat disampaikan secara berkesan kepada setiap kumpulan sasaran,” katanya.

Katanya, mengenai status halal vaksin, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan turut menganggotai JKK ini bagi memastikan orang Islam di negara ini mendapatkan maklumat yang tepat berkait penggunaan vaksin ini.