Pertimbang cadangan laksana darurat di DUN Bugaya

Nixon
Nixon
A
A
A

KOTA KINABALU - Cadangan perlaksanaan darurat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya harus dipertimbangkan bagi mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19) di Sabah yang dilihat masih belum stabil ketika ini.

Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Semporna, Nixon Abdul Habi berkata, kekosongan kerusi di DUN Bugaya disebabkan penyandangnya, Datin Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia baru-baru ini, sekali gus boleh menyebabkan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN itu.

"Kita orang yang rasional dan praktikal, kita bukan jenis berani mati tetapi kita kena pertimbangkan keadaan, kalau ia boleh menjejaskan rakyat dan negara, kita harus cari jalan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

"Ini kerana, kita harus pentingkan rakyat dan negara kerana kita berhadapan dengan krisis Covid-19 bukan sahaja di Sabah tetapi seluruh negara dan dunia.

"Jadi ada pertimbangan yang seharusnya kita buat dan dalam hal ini, saya bersetuju jika darurat diadakan kerana musuh kita yang pertama adalah Covid-19," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, lonjakan kes di Sabah terjadi apabila ada pihak yang mahukan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dan kesannya sudah dapat dilihat hari ini.

"Keadaan ini meletus kerana PRN yang lalu, kerana semata-mata konon dalam Perlembagaan tetapi akhirnya apa yang berlaku, rakyat terkorban, negara mengalami kesulitan, sekarang ekonomi terjejas dan pengangguran berleluasa.

"Jadi siapa yang bersekongkol dengan Covid-19, inilah yang harus kita tewaskan, sesiapa yang menggalakkan penularan Covid-19 ini adalah 'Covid politik' yang perlu kita tewaskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam telah mengesahkan sudah menerima notis kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Gerik, Perak dan kerusi DUN Bugaya di Sabah.

Bagaimanapun, penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dalam laporan Sinar Harian hari ini berkata, kerajaan perlu memikirkan soal kesihatan rakyat daripada kepentingan politik dengan melaksanakan darurat bagi mengelak PRK diadakan di dua kerusi pada ketika ini.