Penghasilan vaksin ambil masa lama

DR HISHAMSHAH
DR HISHAMSHAH
A
A
A

SHAH ALAM - Kaedah kajian dalam penghasilan vaksin kepada manusia mengambil masa yang lama kerana ia perlu melalui beberapa peringkat dipanggil sebagai kajian pra klinikal.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata, dalam hal tersebut penyelidik membangunkan vaksin dan ia akan diuji kepada haiwan (daripada haiwan yang kecil sehingga yang besar) sebelum digunakan kepada manusia.

Menurutnya, apabila vaksin itu mahu digunakan kepada manusia perlu dipastikan sama ada kualiti ubat vaksin yang digunakan sampai ke paras yang selamat dan berkualiti tinggi.

“Jadi ada banyak peringkat. Penghasilan vaksin ini satu proses yang kompleks dan rumit. Ada ujian klinikal fasa satu, kedua dan ketiga. Jadi semua vaksin atau ubat-ubat yang kita gunakan pada manusia perlu melalui kaedah di atas.

“Kalau dilihat pada pengalaman yang lepas, vaksin yang telah dihasilkan mampu menyelamatkan jutaan nyawa manusia pada awal vaksin itu diketengahkan. Contohnya penyakit cacar air dan ia boleh membawa maut, tetapi dengan vaksin yang dibangunkan Alhamdulillah ia berjaya.

Dari kiri Fazrul, Dr Hishamshah, Ustaz Umar Mukhtar dan Ustaz AhmadTirmizi pada Wacana al-Quran bertajuk Vaksin: Antara Ikhtiar dan Harapan surah an-Nahl ayat 43 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf semalam.
Dari kiri Fazrul, Dr Hishamshah, Ustaz Umar Mukhtar dan Ustaz AhmadTirmizi pada Wacana al-Quran bertajuk Vaksin: Antara Ikhtiar dan Harapan surah an-Nahl ayat 43 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf semalam.

"Walaupun vaksin ini boleh jadi efektif tapi penyampaiannya tidak sampai ke seluruh dunia menyebabkan penggunaan vaksin belum mencapai matlamatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana al-Quran bertajuk Vaksin: Antara Ikhtiar dan Harapan surah an-Nahl ayat 43 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Turut menjadi panelis, Pegawai Khas Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Umar Mukhtar Mohd Noor.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator, manakala qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali memperdengarkan bacaan surah an-Nahl ayat 43 dan surah-surah yang berkaitan.

Dr Hishamshah berkata, wabak koronavirus (Covid-19) merupakan ujian getir dan selalunya ujian daripada ALLAH SWT didatangkan dengan pengharapan.

“Memang ada cabarannya dalam menghadapi Covid-19 ini, tetapi dengan usaha yang berterusan kita akan mendapat vaksin yang sesuai dengan paras keberkesanan yang tinggi dan dapat digunakan kepada rakyat.

"Tetapi kita perlu pastikan vaksin yang dihasilkan mematuhi semua peringkat kajian klinikal dan data-data yang dihasilkan sekali gus menunjukkan keberkesanan. Barulah, kita menaruh harapan dan yakin ia dapat membantu memutuskan rantaian Covid-19 yang melanda negara kita pada waktu ini,” katanya.