23 mangsa banjir dipindahkan di Sekinchan

Beberapa kawasan rendah di Taman Aman Jaya dinaiki air malam tadi.
Beberapa kawasan rendah di Taman Aman Jaya dinaiki air malam tadi.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seramai 23 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Seri Sekinchan hari ini berikutan banjir kilat melanda beberapa kawasan rendah di Sekinchan semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Khairul Anuar Abu Bakar berkata, tiga kawasan di Sekinchan terjejas iaitu di Kampung Sungai Labu, Taman Ria dan Taman Aman.

Bagaimanapun, katanya, semua mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat itu dari Kampung Sungai Labu.

"Kejadian banjir berlaku disebabkan hujan berterusan dan pertembungan air pasang.

"Sehingga jam 9 pagi tadi, mangsa banjir yang ditempatkan di PSS itu terdiri daripada sembilan lelaki dan 11 perempuan," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Khairul Anuar berkata, dari segi pecahan mangsa banjir pula terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki dewasa.

"Seramai tujuh kanak-kanak lelaki dan perempuan, bayi lelaki (seorang) dan warga emas (seorang)," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Taman Aman, Raja Subaidah Raja Mohd, 50, berkata, beliau hanya menyedari rumahnya dilanda banjir selepas pulang dari tempat kerja kira-kira jam 8 malam.

Artikel Berkaitan:

"Sebaik tiba di rumah, saya dapati air sudah mula bertakung di kawasan rumah setinggi 0.1 meter dan tiga bilik turut dimasuki air," katanya.

Katanya, mereka sekeluarga terpaksa mengerah kudrat untuk mencuci dan membersihkan takungan air sehingga tengah hari tadi.

"Memang penat sebab dari semalam lagi saya tidak berhenti membersihkan kawasan rumah," katanya.

Ng Beng Hui, 55, dari Taman Aman Jaya pula berkata, kejadian banjir kilat yang berlaku kira-kira jam 7 malam itu turut membawa sampah sarap dan surut selepas dua jam.

"Hari ini sahaja kami terpaksa menghabiskan masa membersihkan sampah sarap yang dibawa air," katanya.

Seorang lagi penduduk dari taman sama, Phua Lee Peng, 54, berkata, beliau meminta Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan membesarkan sistem saliran longkang di taman itu.

Katanya, taman itu terletak di kawasan rendah dan mudah digenangi air jika hujan berterusan.

"Ini kejadian kali pertama berlaku dalam tempoh lima tahun. Kita berharap masalah sama tidak terus berulang," katanya.