KPT perluas pemberian wang pendahuluan PTPTN untuk pelajar IPTS

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju memperluaskan pemberian wang pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) khususnya daripada kumpulan B40.

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pemberian wang pendahuluan itu dibuat berdasarkan syarat kelayakan PTPTN mulai tahun depan.

Beliau berkata, KPT juga bersetuju menaikkan kadar pinjaman PTPTN setiap semester daripada RM6,800 kepada RM8,000 bagi peminjam B40 melanjutkan pengajian peringkat diploma di IPTS tertakluk simpanan bertakaful oleh pihak IPTS bermula tahun depan.

“Kementerian juga akan mengkaji cadangan secara serius supaya faedah pinjaman dikecualikan dan diskaun bayaran balik diberikan kepada peminjam dan pada masa sama memastikan kelestarian sumber kewangan PTPTN tidak terjejas untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Noraini berkata, kementerian telah melaksanakan penyambungan moratorium pinjaman PTPTN kali kedua mulai Oktober sehingga Disember 2020.

“Jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik bagi kedua-dua moratorium ini adalah sebanyak RM1.125 bilion yang memanfaatkan 1.5 juta peminjam.

“Walaupun penangguhan diberikan, kita mengucapkan terima kasih kepada 422,609 peminjam yang masih meneruskan bayaran balik pinjaman dengan jumlah RM595 juta bagi tempoh April hingga Oktober 2020.

Artikel Berkaitan:

“Untuk moratorium ketiga, kementerian telah mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan termasuklah Kementerian Kewangan dan perkara ini akan dipertimbangkan,” katanya.