31,661 unit rumah siap dibina tidak terjual

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggariskan beberapa inisiatif bagi membendung isu lambakan rumah termasuk rumah baharu di negara ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, antara inisiatif itu termasuk membangunkan Sistem Pengurusan Perumahan Bersepadu (HIMS) bagi menggantikan sistem sedia ada bertujuan merekod maklumat perumahan berkaitan pemaju yang ditetapkan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

Beliau berkata, pihaknya turut melaksanakan Kajian Analitis Data Raya Perumahan bagi mendapatkan situasi sebenar kedudukan dan ketersediaan data berkaitan sektor perumahan di negara ini.

“Kajian ini akan mula dilaksanakan pada suku pertama 2021 dan hasil kajian ini akan dijadikan input bagi pembangunan platform pusat pengumpulan data hartanah yang meliputi permintaan dan penawaran untuk membantu kerajaan Persekutuan dan negeri membuat keputusan serta penyediaan dasar dan perancangan negara yang lebih komprehensif.

“Dijangkakan dengan adanya platform ini kelak, pembinaan rumah baharu dalam negara dapat dilaksanakan mengikut kehendak dan keperluan sebenar penduduk setempat dengan mengambil kira data-data permintaan semasa dan unjuran keperluan di masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) berhubung tindakan kementerian dalam mengawal pemaju daripada terus membina projek perumahan tidak bertepatan dengan kehendak pasaran di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida (Bersatu-Ampang) berkata, sebanyak 31,661 unit rumah siap dibina tidak terjual bernilai RM20.03 bilion.

“Jumlah itu meningkat sebanyak 3.3 peratus dalam bilangan dan 6.4 peratus dalam nilai perbandingan separuh tahun kedua 2019 iaitu 30,664 unit bernilai RM18.82 bilion,” katanya.

Artikel Berkaitan: