Kertas siasatan aktivis fitnah KPN, Ketua Polis Johor dibuka

Abdul Hamid Bador dan Ayob Khan
Abdul Hamid Bador dan Ayob Khan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor sudah membuka kertas siasatan terhadap seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memfitnah Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ayob Khan berkata, tindakan segera akan dilakukan untuk proses seterusnya terhadap lelaki berusia 39 tahun itu yang melakukan tohmahan tidak berasas terhadap beliau dan KPN.

Menurutnya, K Haridas bakal berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas perbuatan tersebut kerana menghina serta menggugat ketenteraman awam.

"Ini merupakan kes terbaharunya. Sebelum ini, lelaki itu pernah dituduh bagi lima bagi kes mengikut Seksyen 14 Akta Hasutan, Seksyen 90 Akta Polis kacau ganggu di balai polis, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Sebelum ini, Haridas memuat naik video dalam Facebook Defend People's Rights Group yang menuduhnya antaranya mendakwa KPN tidak berintegriti dan menuduh beliau menggunakan agama untuk mencari nama.

Video berdurasi 17 minit 39 saat itu dalam Facebook berkenaan pada 20 November lalu mendapat tontonan sebanyak 200,000 kali dan dikongsi oleh lebih 1,000 pemilik akaun.

Ayob Khan berkata, Haridas kini ditahan di lokap Balai Polis Kangkar Pulai semalam selepas gagal membayar jaminan RM10,000.

Beliau berkata, lelaki tersebut ditahan oleh sepasukan polis dari Johor di Taman Pasir Mas, Rantau, Negeri Sembilan pada jam 9 malam kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia ditahan bagi kes berkaitan mengugut anggota polis pada 2017 yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Sebelum itu, dia dipanggil untuk memberi keterangan tetapi tidak menghadirkan diri dan dia telah disenaraikan dalam senarai individu dikehendaki.

"Semalam, dia dituduh di Mahkamah Majistret di sini dan dimasukkan ke dalam lokap selepas gagal membayar jaminan sebanyak RM10,000," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:'Kritik polis boleh tapi jangan fitnah'