Syed Saddiq minta kerajaan ketepikan warna baju politik

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta kerajaan ketepikan perbezaan warna baju politik masing-masing dan memberikan peruntukan yang adil kepada semua rakyat.

Menurutnya, peruntukan yang adil bagi setiap kawasan Parlimen haruslah diberi tanpa mengira kawasan prokerajaan mahupun pembangkang.

Katanya, peruntukan RM3.8 juta bagi kawasan Parlimen pembangkang haruslah dikembalikan supaya rakyat mendapat bantuan yang secukupnya pada waktu kritikal pandemik koronavirus (Covid-19) ini.

“Jumlah peruntukan RM3.8 juta itu boleh digunakan untuk menyumbang bantuan RM500 secara 'one off' kepada 7,600 buah keluarga dan 3,000 komputer riba kepada pelajar yang memerlukan atau 38,000 unit bakul makanan kepada keluarga yang susah,” katanya menerusi Facebook hari ini .

Syed Saddiq berkata, bantuan tersebut adalah perkara yang penting dan amat berharga buat golongan memerlukan dan janganlah ketepikan hak mereka daripada mendapat perhatian pihak kerajaan.

“Jadi sebagai wakil yang dipilih rakyat, saya memohon peruntukan adil ini diberikan perhatian di dalam Belanjawan 2021.

“Sudah tiba masanya kita berpolitik secara matang dan inilah peluang kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan kebaikan pimpinan mereka berbanding yang terdahulu,” katanya.

Artikel Berkaitan: