Lapan ditahan, sindiket proses dadah tumpas

Sahabudin (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Pulau Pinang, Georgetown hari ini.
Sahabudin (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Pulau Pinang, Georgetown hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Seramai lapan ahli sindiket memproses dadah termasuk dalang berusia 38 tahun ditahan dalam 10 serbuan di beberapa kawasan di negeri ini dan Perak dengan rampasan dadah bernilai RM177,210 dalam operasi khas bermula jam 5 petang Ahad hingga 3.30 petang Isnin lalu.

Dalam serbuan itu, polis merampas 10.17 kilogram (kg) heroin, 10.37 kg (kafein), 0.375 kg (heroin base), 0.143 kg (syabu), 620 biji pil ekstasi dan 20 biji pil eramin 5.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, operasi khas tersebut dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan JSJN IPK Perak.

Menurutnya, kegiatan sindiket tersebut terbongkar selepas polis menahan dua lelaki berusia 33 dan 40 tahun di hadapan sebuah kondominium di Batu Uban, di sini.

"Hasil penahanan itu, kita membuat pemeriksaan di dalam sebuah rumah dan menjumpai sejumlah dadah jenis heroin, heroin base, serbuk kafein serta peralatan memproses dadah. Kita percaya rumah ini dijadikan makmal mini memproses dadah sebelum dijual kepada pembeli.

"Hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati positif opiate," katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang, di sini hari ini.

Jelasnya, susulan itu, polis memeriksa sebuah kenderaan di kawasan Gelugor dan menjumpai sejumlah heroin yang disorokkan di situ.

"Dalam serbuan seterusnya, polis menahan enam lelaki berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun di beberapa kawasan di Perak iaitu Bukit Gantang dan Ipoh serta Air Itam dan Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kesemua serbuan itu, kita merampas pelbagai jenis dadah antaranya pil ekstasi, heroin, syabu dan eramin 5," katanya.

Beliau berkata, daripada enam lelaki itu, dalang sindiket tersebut yang berusia 38 tahun ditahan di tepi jalan di Simpang Ampat selepas

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaikinya menjumpai sejumlah heroin.

"Siasatan mendapati, sindiket ini memperoleh bekalan dadah daripada rangkaian sindiket antarabangsa sebelum memprosesnya di kondominium di Batu Uban.

"Polis mengesan sindiket ini sejak September lalu yang mana bekalan dadah tersebut adalah untuk pasaran di Kedah, Pulau Pinang dan Perak," katanya.

Tambahnya, ujian saringan air kencing semua suspek negatif kecuali dua daripada mereka positif.

Beliau berkata, daripada lapan suspek, hanya seorang tidak mempunyai rekod lampau, tujuh lagi mempunyai rekod melibatkan jenayah dan dadah. Kesemua mereka direman sehingga 29 November untuk siasatan lanjut.

"Polis turut menyita tujuh buah kenderaan bernilai RM369,000, wang tunai RM14,800 dan barang kemas bernilai RM25,530. Oleh itu, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM586,540," katanya.

Sahabudin berkata, kesemua dadah tersebut mampu dibekalkan kepada 44,255 penagih jika ia terlepas ke pasaran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.