X

Kindly register in order to view this article
!

Mesyuarat maya MAFI bincang sinergi kerajaan pusat dan negeri

Mesyuarat Menteri Pertanian dan Industri Makanan bersama Exco Pertanian Negeri berlangsung di Bangunan Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Meneruskan sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam keberhasilan pengeluaran komoditi agromakanan antara intipati mesyuarat Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama Exco Pertanian Negeri di Bangunan Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur semalam.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, mesyuarat Bilangan 2 Tahun 2020 itu turut dihadiri dua timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Pertanian dan Industri Sabah; Menteri Muda Pertanian Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED) Sarawak dan Exco Pertanian Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Kelantan.

Sementara itu, Exco Pertanian Negeri Selangor dan Exco Pertanian Negeri Terengganu diwakili Unit Perancang Ekonomi Negeri masing-masing.

Ronald berkata, mesyuarat yang diadakan dua kali setahun itu juga bertujuan untuk mendapatkan maklum balas berhubung isu serta strategi pelaksanaan memperkukuh jaminan bekalan makanan negara di peringkat negeri masing-masing terutama dalam tempoh pandemik koronavirus (Covid-19).

"Saya berkongsi empat makluman penting bersama ahli-ahli Exco Pertanian negeri iaitu berhubung Sesi Perbahasan Belanjawan 2021 yang sedang berlangsung sehingga 26 November 2020, penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang bersidang pada 8 September 2020, penggubalan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 dan penangguhan Expo MAHA 2020," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan inisiatif-insiatif yang dirancang dengan baik bagi memastikan sumbangan positif sektor pertanian dan industri makanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, empat kertas makluman iaitu Bajet Pembangunan MAFI Tahun 2021 dan tiga kertas hala tuju Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) masing-masing bagi subsektor tanaman, ternakan dan perikanan dibincangkan.

"Turut dibincangkan ialah perkara-perkara yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Exco Pertanian Negeri yang secara ringkasnya dirumuskan meliputi isu-isu permohonan lesen nelayan Zon A, pembekalan benih padi serta cadangan-cadangan memperkasa infrastruktur, modal insan serta peluasan penggunaan teknologi pertanian di negeri-negeri.

"Mesyuarat ini juga secara prinsipnya bersetuju untuk menyegerakan penyelesaian isu-isu berbangkit demi memastikan kebajikan petani, penternak dan nelayan negara terus terpelihara," katanya.

Ronald berkata, kementerian amat komited dalam memastikan jaminan bekalan makanan negara kekal utuh melalui kerjasama dan sinergi berterusan bersama negeri-negeri.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!