Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini dalam persekitaran harga minyak mentah kukuh dan prestasi mata wang Amerika Syarikat (AS) itu yang lemah, kata peniaga.

Pada jam 9.00 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.0845/0875 berbanding dolar AS daripada 4.0850/0900 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata, sebagai ekonomi yang bergantung kepada jumlah eksport minyak yang besar, ringgit mempunyai kelebihan pada minggu ini berikutan harga minyak meningkat menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) pada 30 November, mengenai jangkaan lanjutan pengurangan pengeluaran pada masa ini.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, aset berisiko mendapat momentum berikutan persekitaran luaran positif yang menyaksikan Dow Jones AS melepasi 30,000 mata semalam.

“Memandangkan minat untuk mengambil risiko bertambah baik dalam pasaran, permintaan yang rendah terhadap mata wang selamat, menyebabkan dolar AS turut merosot.

"Indeks dolar (DXY), yang mengukur mata wang AS itu berbanding enam mata wang utama, terus susut kepada 92.226 mata.

“Ringgit dijangka terus meningkat dalam masa terdekat. Bagaimanapun, mungkin terdapat gangguan berikutan kebimbangan mengenai peningkatan mendadak kes Covid-19 baharu kepada lebih 2,000 kes di negara ini semalam,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pelabur turut menunggu keputusan undian Belanjawan 2021 di Parlimen esok, justeru, ringgit berbanding dolar AS dijangka diniagakan dalam jajaran kecil hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0440/0467 daripada 3.0435/0484 semalam dan merosot berbanding euro kepada 4.8597/8637 daripada 4.8538/8614 sebelum ini.

Ia meningkat berbanding yen kepada 3.9094/9126 daripada 3.9192/9251 pada Selasa dan naik berbanding pound kepada 5.4565/4609 daripada 5.4588/4659. - Bernama