X

Kindly register in order to view this article
!

KPN letak kepercayaan kepada Dewan Rakyat luluskan Belanjawan 2021

ABDUL HAMID
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador meletakkan kepercayaan penuh kepada Dewan Rakyat agar Belanjawan 2021 dapat diluluskan bagi memperkasakan sektor pertahanan dan ketenteraman awam negara.

Bagaimanapun, kata Abdul Hamid, beliau yakin sekiranya belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lepas tidak diluluskan, proses demokrasi di negara ini akan tetap berjalan lancar.

“Pemimpin-pemimpin politik dilihat dapat memainkan peranan masing-masing dengan penuh kematangan dan dengan rasa penuh bertanggungjawab.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa fokus dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, di samping melaksanakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 yang kini masih berlangsung dan pengundian bagi meluluskannya dijangka diadakan esok.

Abdul Hamid berkata, ketika ini, keadaan keselamatan adalah terkawal dan pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan terhadap sebarang aktiviti di seluruh negara selain membantu dalam penguatkuasaan bagi membendung penularan Covid-19.

“Kami juga tetap fokus dalam tugasan membantu Kementerian Kesihatan menangani ancaman Covid-19,” katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan PDRM mengiktiraf agihan daripada peruntukan berjumlah RM17 bilion yang diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan PDRM kepada masyarakat. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!