Uptown terbakar: Peniaga dakwa wujud unsur khianat

Kejadian kebakaran yang memusnahkan 200 lot kedai di Uptown Puchong Permai. (Gambar kecil: Asisten Komisioner Risikin Satiman, Abdul Rahim)
Kejadian kebakaran yang memusnahkan 200 lot kedai di Uptown Puchong Permai. (Gambar kecil: Asisten Komisioner Risikin Satiman, Abdul Rahim)
A
A
A

PUCHONG - Para peniaga di Uptown Puchong Permai mendakwa terdapat unsur khianat dalam kejadian kebakaran di premis berkenaan sehingga menyebabkan 200 lot kedai di sini musnah.

Pegawai Operasi Uptown Puchong Permai, Abdul Rahim Shah Golbal Shah berkata, pihaknya menolak kemungkinan berlakunya litar pintas sewaktu kejadian itu berikutan ada di antara peniaga yang menyedari lampu di sebuah lot kedai masih menyala ketika insiden berkenaan.

Oleh itu, Abdul Rahim menggesa pihak polis agar melakukan siasatan rapi berhubung kes berkenaan bagi membolehkan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.

"Kalau berlaku litar pintas, mana mungkin lampu di lot kedai itu masih menyala dan ini membuktikan wujudnya unsur khianat.

"Sejak lapan tahun kami meniaga di sini, tak pernah berlaku sebarang kejadian litar pintas dan polis perlu menyiasat perkara ini dengan sebaik-baiknya," katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan sebanyak 200 lot kedai terjejas dan musnah dijilat api dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 7.45 pagi itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Penguasa Bomba Kanan I Norizham Mohd Nudin juga memaklumkan, punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan forensik bomba namun tiada unsur jenayah dapat dikaitkan buat masa ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, pihaknya juga telah membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong berhubung perkara itu bagi membolehkan siasatan segera dilakukan oleh pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Kami mengesyaki ada pihak yang cuba mendapatkan tanah ini dan melakukan tindakan dengan membakar kedai yang beroperasi di sini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 200 lot kedai Uptown Puchong Permai hangus

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Puchong, Asisten Komisioner Risikin Satiman ketika dihubungi memaklumkan, buat masa ini pihaknya masih menunggu laporan daripada forensik bomba terlebih dahulu sebelum membuka sebarang kertas siasatan berhubung kes tersebut.

Beliau berkata, pada masa ini, pihaknya telah menerima 114 laporan polis yang dibuat oleh peniaga-peniaga Uptown berkenaan.

"Peniaga-peniaga ini membuat laporan atas tujuan untuk tuntutan insurans, namun ada juga dua atau tiga peniaga yang menyatakan terdapat unsur khianat di dalam laporan mereka.

"Apapun, polis masih menunggu laporan forensik bomba sebelum kita dapat membuka kertas siasatan lanjut," katanya.