Nakatake akhiri karier di bumi Malaysia

Hamada (kanan) bergambar bersama Nakatake di Shah Alam semalam.
Hamada (kanan) bergambar bersama Nakatake di Shah Alam semalam.
A
A
A

SELEPAS hampir lima tahun berkelana di Malaysia dan tujuh tahun bergelar pemain profesional, bekas pemain import Negeri Sembilan, Shunsuke Nakatake mengambil keputusan bersara daripada arena bola sepak.

Jika diimbas kembali kariernya, Nakatake sudah lama menabur bakti dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) bermula menyertai Kuantan FA diikuti PDRM FA sebelum mengerah keringat di Negeri Sembilan.

“Ini masa yang sesuai untuk bersara dari bola sepak profesional. Saya sudah bermain secara profesional selama tujuh tahun. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam karier bola sepak saya.

“Saya gembira dapat bermain di Singapura dan Malaysia. Akhir sekali, terima kasih kepada isteri, keluarga, rakan-rakan, jurulatih, rakan sepasukan dan juga peminat,” katanya semalam.

Bagi menghargai jasa dan pencapaian Nakatake sepanjang berada di Malaysia, syarikat minuman probiotik terkenal, Yakult Malaysia Sdn Bhd telah mengadakan majlis khas bagi meraikan persaraannya itu.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada pula berkata, pihaknya menghargai bakat dan sumbangan yang diberikan oleh Nakatake sepanjang pemain berusia 30 tahun itu berada di negara ini.

“Nakatake merupakan pemain bola sepak yang baik serta sentiasa terlibat bersama Yakult dalam program klinik-klinik bola sepak akar umbi yang pernah kita adakan sebelum ini.

“Kami juga ingin menzahirkan kebanggaan kami terhadap pencapaiannya pada musim ini. Apa yang saya mahukan adalah apabila anak Nakatake besar nanti, dia akan mengetahui yang ayahnya pernah bermain untuk sebuah negeri di Malaysia,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis sama, Yakult Malaysia telah memberikan anugerah ‘Most Number of Assists In Malaysia Premier League 2020’ kepada Nakatake atas persembahan cemerlang yang ditunjukkannya dalam kempen Liga Premier musim ini.