Zaid saman firma guaman Zaid Ibrahim & Co

Mohd Zaid Ibrahim
Mohd Zaid Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim memfailkan saman terhadap firma guaman Zaid Ibrahim & Co bagi memohon injunksi menghalang firma berkenaan daripada terus menggunakan namanya.

Mohd Zaid, yang juga peguam selaku plaintif, memfailkan saman menerusi Tetuan Suflan T H Liew & Partners melalui sistem e-pemfailan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 18 November lalu dengan menamakan firma guaman itu sebagai defendan tunggal.

Hasil semakan mahkamah, pengurusan kes ditetapkan pada 23 Disember depan di hadapan Timbalan Pendaftar Nurliana Ismail.

Dalam penyataan tuntutan Mohd Zaid berkata, beliau menubuhkan firma guaman Zaid Ibrahim & Co pada 1987 dan beransur-ansur mengembangkan firmanya dengan memasukkan rakan kongsi termasuk Chew Seng Kok dan Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.

Katanya, sepanjang amalan guamannya, beliau memperoleh nama baik dalam firma tersebut khususnya bagi mendapatkan keanggotaan panel bersama dengan institusi kewangan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sehinggalah beliau meninggalkan firma selepas dilantik sebagai menteri pada 2008.

Katanya, pada 5 Oktober lalu, defendan membuat tawaran kepadanya supaya menyertai semula amalan guaman di Zaid Ibrahim & Co sebagai rakan kongsi ekuiti sedia ada dan pengerusi bermula daripada 1 November lalu.

Mohd Zaid berkata, beliau menerima tawaran itu dan memasuki semula firma itu.

Bagaimanapun katanya, semua kedudukannya dalam firma guaman itu ditamatkan serta-merta pada 9 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memohon ganti rugi bagi penyalahgunaan nama plaintif, kos dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama