X

Kindly register in order to view this article
!

Mahu nasihat atau melepas geram?

A
A

SAYA adalah antara 24 juta netizen Malaysia yang memilih Facebook kerana ia adalah media sosial yang paling diminati.

Sebanyak 84 peratus netizen di Malaysia memilih Facebook mengikut statistik Oktober 2020 yang dikeluarkan Statista, sebuah agensi statistik yang berpangkalan di Jerman.

Saya gunakan media sosial untuk berkongsi dengan friends saya mengenai aktiviti, program, perjuangan, pandangan, pendirian serta kerja saya.

Setiap posting saya buka kepada sesiapa sahaja untuk menatapnya. Oleh itu sesiapa sahaja boleh memberi tanda suka, menurunkan komen mahupun berkongsi apa yang saya paparkan.

Saya dapati status peribadi saya sebagai Norden Mohamed mempunyai lebih banyak respon berbanding lain-lain status.

Status saya sebagai petugas media di Malakat Mall mendapat respon kedua ramainya, diikuti dengan status saya sebagai penulis kreatif dan kemudian sebagai seorang aktivis.

Lazimnya, saya akan menerima tanda suka yang lebih banyak daripada komen. Komen mahupun ulasan pula lazimnya bernada positif.

Oleh sebab laman saya adalah terbuka, mereka yang bukan friends saya pun boleh mencelah memberi respon.

Terdapat juga mereka yang memberi komen sinis dan pedas. Jika mereka adalah kawan-kawan yang dikenali, itu tidak menjadi masalah.

Namun, apabila komen yang dicatat di laman saya itu berbaur kecaman, apatah lagi fitnah daripada orang yang saya tidak kenali, tentulah ia menimbulkan kegusaran.

Komen-komen mengaitkan orang atau organisasi yang tiada kena mengena dengan komen saya membuat saya berasa pelik.

Mengapa ada yang masuk ‘ke rumah saya’ boleh menjadikan ia sebagai tempat dia mengkritik pihak lain? Tidakkah dia sedar bahawa dia menggunakan laman saya sebagai tempatnya mengata geram kepada seseorang atau mana-mana pihak tidak disukainya?

Tindakan itu kurang molek kerana telah mencemarkan ‘rumah’ saya yang dipertahankan supaya sentiasa elok dan berhemah dalam setiap posting.

Tidakkah dia terfikir pandangan kawan-saya apabila seseorang yang tidak mereka kenali mencatatkan komen yang tidak cantik untuk dibaca?

Kritik

Dia mengkritik bertujuan untuk membetulkan tetapi dia sendiri menggunakan saluran yang tidak betul kerana komennya terhadap seseorang mahupun institusi tidak sampai kepada pihak yang sepatutnya.

Bagi saya, teguran kita kepada apa sahaja, jika benar-benar serius harus diajukan terus secara berdepan dengan pihak berkenaan. Jika tidak, ia harus dilakukan secara terasing. Kata orang ‘boleh PM tepi.’

Sebaliknya, jika perkataan yang digunakan secara terang-terangan boleh menimbulkan rasa sakit hati orang lain, dia tidak baik untuk pengkritik dan sesiapa yang membaca kritiknya.

Barangkali ramai netizen yang terikut-ikut dengan cara pidato orang politik, peguam mahupun penulis yang kritis sedangkan golongan itu amat berhati-hati mengkritik, meskipun apa yang dicatat itu menggunakan perkataan yang pedas dan berapi-api.

Jika diperhalusi, mereka menyampaikan kritik secara menyindir dengan menggunakan frasa berlapik seperti ‘jika beginilah keadaannya,’ ‘tindakan mereka seolah-olah’ atau ‘kita khuatir ada unsur-unsur jahat’ untuk mengelak daripada disaman.

Orang profesional seperti ahli politik, peguam dan wartawan umpama ahli gusti. Mereka mampu menghentam sampai luka tetapi dengan cara tidak menyalahi peraturan tetapi ramai kalangan netizen membelasah secara membabi buta tanpa bertapis dalam tulisan mereka.

Timbul persoalan, apakah orang yang mengkritik itu bertujuan untuk memperbetul keadaan atau hanya melepas geram? Saya nampak, kritik yang sebegitu hanya melepaskan perasaan.

Jika begitu, apakah mereka mahu menjadikan ruang status Facebook sebagai wailing wall?

Menurut carian, nama wall dipilih sebagai nama ruang kita mencatat status oleh Mark Zukerberg, pengasas Facebook sebagai simbol ‘tembok meratap’ orang Yahudi di tempat ibadah mereka.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!