Tangkapan Geng Botak Sern: Selesai empat kes pecah rumah

Sepucuk pistol tiruan yang ditemui hasil daripada tangkapan sindiket berkenaan.
Sepucuk pistol tiruan yang ditemui hasil daripada tangkapan sindiket berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sekurang-kurangnya empat kes pecah rumah sekitar bandar raya ini berjaya diselesaikan dengan penangkapan 11 ahli ‘Geng Botak Sern’ menerusi empat serbuan yang dilakukan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, tangkapan suspek terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita berusia 23 hingga 28 tahun itu dibuat di lokasi berasingan sekitar JBU dan Kulai.

“Kesemua 11 ahli kumpulan ini dipercayai terlibat dalam empat kes pecah rumah termasuk di kondominium sekitar bandar raya ini.

“Kami juga percaya modus operandi yang digunakan kumpulan ini adalah menyasarkan premis atau kediaman kosong untuk dipecah masuk,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

No Image Caption

Mohd Taib berkata, pemeriksaan di sebuah rumah milik salah seorang suspek di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai turut menemui beberapa hasil rompakan dari kegiatan sindiket berkenaan.

“Kita menemui barangan dan kelengkapan disyaki untuk melakukan pecah rumah termasuk sepucuk pistol tiruan,” katanya.

Beliau berkata, enam daripada suspek yang ditahan juga didapati mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah curi dan pecah rumah.

Artikel Berkaitan:

“Seorang suspek dipercayai ketua kumpulan ini mempunyai sembilan rekod lampau melibatkan kes pecah rumah ditahan bersama sebuah kereta bersabit kes kecurian di Ayer Keroh, Melaka.

“Selain itu, ujian air kencing yang dilakukan terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Katanya, kejayaan menumpaskan sindiket berkenaan adalah hasil daripada kerja risikan dan siasatan sempena Ops Limau yang dilakukan sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina, tahun ini.

Untuk rekod, Polis Daerah JBU telah menahan seramai 72 individu atas pelbagai kesalahan jenayah seperti samun dan pecah rumah termasuk 11 suspek dari kumpulan ini.