Beri 1.7 juta pelajar peranti percuma

Sebanyak 37 peratus daripada lebih 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara tidak memiliki sebarang peranti bagi mengikuti sesi pembelajaran dalam talian. - Foto Bernama
Sebanyak 37 peratus daripada lebih 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara tidak memiliki sebarang peranti bagi mengikuti sesi pembelajaran dalam talian. - Foto Bernama
A
A
A

KAJIAN Kementerian Pendidikan Malaysia mendedahkan sebanyak 37 peratus daripada lebih 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara tidak memiliki sebarang peranti bagi mengikuti sesi pembelajaran dalam talian.

Angka itu bersamaan 1.7 juta pelajar yang tidak mempunyai sama ada telefon pintar, tablet atau komputer iaitu peranti asas yang membolehkan mereka belajar secara dalam talian.

Itu tidak termasuk ratusan ribu pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang turut terjejas.

Disebabkan sekolah ditutup sehingga Januari tahun hadapan, mahu tak mahu pelajar berkenaan terpaksa belajar secara dalam talian.

Penutupan sekolah tanpa diikuti pembelajaran dalam talian dikhuatiri menjejaskan masa depan sumber manusia negara apatah lagi sesi persekolahan 2020 berlangsung selama kira-kira empat bulan sahaja.

Mengambil kira tempoh wabak Covid-19 yang mungkin berlarutan lebih lama, kerajaan harus menilai semula dana tambahan kepada Kementerian Pendidikan yang sudah pun menerima peruntukan terbesar iaitu RM50 bilion daripada keseluruhan RM322.5 bilion Belanjawan 2021.

Memang belanjawan itu ada menyentuh secara langsung bantuan kepada kelompok pelajar terbabit melalui inisiatif GLC atau GLIC di bawah seliaan Yayasan Hasanah yang akan menyumbang RM150 juta kepada Dana Cerdik untuk memberi komputer riba berharga RM1,000 sebuah kepada 150,000 pelajar di 500 sekolah perintis.

Bagaimanapun, inisiatif Yayasan Hasanah itu hanya menampung tidak sampai 9 peratus daripada 1.7 juta pelajar terbabit yang sebahagian besarnya adalah daripada kelompok B40.

Artikel Berkaitan:

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan merancang pemberian peranti percuma kepada semua 1.7 juta pelajar terbabit dengan turut meliputi golongan M40.

Walaupun ia akan membabitkan perbelanjaan sebesar RM1.7 bilion, namun dengan kerjasama syarikat GLC dan sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat, kerajaan mampu melakukannya.

Apatah lagi, pembelajaran dalam talian dijangka terus menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara walaupun selepas pandemik berakhir kelak.