Sabah rekod lebih 800 pesakit Covid-19 sembuh hari ini

Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan sanitasi pada van henti-henti laluan Batu Sapi hari ini. Foto Bernama
Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan sanitasi pada van henti-henti laluan Batu Sapi hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merekodkan seramai 833 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang telah sembuh di negeri itu adalah seramai 19,721 orang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, seramai 2,266 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 671 di hospital dan 1,595 lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Di PKRC adalah 5,569 katil dan 1,007 katil di hospital menjadikan jumlah keseluruhan 6,576 katil dan peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 34.45 peratus.

“Bilangan pesakit Covid-19 dalam unit rawatan rapi (ICU) ialah 79 orang dan 18 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Masidi berkata, sebanyak 96 kes atau 41.38 peratus daripada 232 kes positif baharu Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini adalah dari Kota Kinabalu, Lahad Datu, Beluran dan Kota Belud yang dikenal pasti berpunca daripada saringan kontak rapat, manakala 136 kes daripada kategori lain.

Beliau turut menasihati rakyat Sabah supaya segera menjalani ujian saringan sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Masidi berkata, kerajaan negeri telah mengagihkan sebanyak 224,251 bakul makanan kepada golongan sasar di seluruh Sabah setakat ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: