Cukai baharu hanya diperkenal selepas ekonomi pulih

TENGKU ZAFRUL
TENGKU ZAFRUL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan hanya memperkenalkan sebarang cukai baharu apabila keadaan ekonomi telah pulih, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, selain memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), kerajaan turut meneliti pencukaian-pencukaian baharu yang bersesuaian.

Menurutnya, kajian mengenai cukai-cukai terbabit dilaksanakan oleh jawatankuasa khusus yang telah ditubuhkan pada akhir 2019.

“(Namun) buat masa ini negara dalam proses pemulihan ekonomi. Saya rasa tidak sesuai untuk kita memperkenalkan cukai-cukai baharu.

“Mungkin Insya-ALLAH, apabila ekonomi telah pulih semula, kita dapat meneliti kajian yang dibuat sekarang dan lihat apakah cukai yang sesuai untuk diumumkan (dilaksanakan),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS) bertajuk ‘Belanjawan 2021: Belanjawan Survival Covid-19’ yang disiarkan menerusi Facebook TV Darul Iman dan Kelantan TV malam ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, selain meningkatkan hasil, kerajaan juga komited untuk mengurangkan paras hutang negara daripada 60 peratus dan mengembangkan sektor berimpak tinggi.

Menurutnya, kerajaan juga menyasarkan untuk mengurangkan ketirisan di dalam ekonomi bayangan yang kini sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). - Bernama

Artikel Berkaitan: