Kluster Teratai terus sumbang peningkatan kes Covid-19

Sebahagian daripada 300 pekerja Top Glove yang dibawa keluar oleh petugas kesihatan berikutan penularan wabak Covid-19 di asrama pekerja Top Glove di Meru, Klang semalam. - Foto Bernama
Sebahagian daripada 300 pekerja Top Glove yang dibawa keluar oleh petugas kesihatan berikutan penularan wabak Covid-19 di asrama pekerja Top Glove di Meru, Klang semalam. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor terus mencatatkan peningkatan kes harian empat angka apabila merekodkan sebanyak 1,623 kes baharu wabak koronavirus (Covid-19) hari ini.

Menerusi kemaskini di laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), negeri ini turut mencatatkan pertambahan sebanyak 299 kes discaj.

Berdasarkan info grafik dikeluarkan JKNS, daerah Klang mencatatkan 1,537 kes di mana kebanyakannya membabitkan Kluster Teratai yang melibatkan kakitangan di kilang sarung tangan Top Glove.

Info grafik dimuat naik JKNS di laman Facebook.
Info grafik dimuat naik JKNS di laman Facebook.

Selain itu, daerah Hulu Langat pula merekodkan 29 kes manakala Petaling (31), Kuala Langat (29), Sepang (4), Gombak (9) dan Kuala Selangor (2).

Dalam perkembangan sama, daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor pula masing-masing dilaporkan tidak merekodkan sebarang pertambahan kes baharu Covid-19 hari ini.

Semalam, Selangor mencatatkan sebanyak 1,203 kes baharu wabak Covid-19 sekali gus menjadi angka tertinggi pernah direkodkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Dalam pada itu, Selangor Task Force Covid-19 (STFC) menerusi info grafik di laman Facebook hari ini turut memaparkan daerah Klang, Kuala Langat, Petaling, Sepang, Gombak dan Hulu Langat kini berstatus zon merah.

Artikel Berkaitan:

Daerah Sabak Bernam pula berada pada zon hijau sementara Kuala Selangor dan Hulu Selangor masing-masing berstatus zon kuning.