X

Kindly register in order to view this article
!

Majoriti kes Covid-19 di NS libat pekerja warga asing

Aminuddin Harun
A
A

SEREMBAN - Kebanyakan jangkitan kes koronavirus (Covid-19) yang berlaku di Negeri Sembilan melibatkan pekerja warga asing yang bekerja dalam sektor perindustrian dan perkilangan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya tidak boleh menafikan sebahagian besar daripada sumber manusia yang terlibat dalam kedua-dua sektor berkenaan datangnya daripada kelompok bukan warganegara Malaysia.

"Apabila berlakunya penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja-pekerja warga asing ini, kerajaan negeri melalui mekanisme Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas Covid-19 telah melaksana dan mengaktifkan pelbagai inisiatif strategik serta langkah-langkah kawalan bagi membendung penularan wabak tersebut.

"Mekanisme kawalan ini ternyata menampakkan hasil yang berkesan apabila beberapa kluster melibatkan warga asing seperti Kluster Kaya dan Kluster Cergas dapat dikawal dan dibendung menerusi langkah-langkah strategik," katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Aminuddin berkata, kebanyakan daripada pekerja asing yang kini terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Putra Point Nilai telah melalui proses saringan ketiga dan sebahagian besar daripada mereka disahkan negatif.

"Saya yakin PKPD di Putra Point Nilai ini boleh ditamatkan menjelang 30 November nanti.

"Bagi meningkatkan lagi keberkesanan dan kawalan pencegahan di bawah PKPD Putra Point Nilai ini, aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan akan dipergiatkan oleh agensi penguatkuasa," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, jangkitan Covid-19 di Penjara Seremban telah dikenal pasti pada 18 November lalu dan Pejabat Kesihatan Daerah Seremban telah mengawal virus berkenaan daripada terus menular dengan melaksanakan saringan bersasar kepada 289 pegawai dan banduan terutamanya di kawasan penularan kes pertama kali dikesan.

Menurutnya, seramai 25 orang didapati positif, manakala baki yang lain adalah negatif dengan peratus kebolehjangkitan virus terbabit sekitar 8.7 peratus.

Mengikut rekod, Negeri Sembilan mencatatkan 73 kes baharu pada hari ini dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 4,058 kes dan kes sembuh direkodkan berjumlah 3,374 dengan jumlah kematian kekal sebanyak lapan kes.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!