Mangsa banjir di Terengganu meningkat

Suasana banjir di Kampung Petaling, Kuala Nerus hari ini.
Suasana banjir di Kampung Petaling, Kuala Nerus hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 352 orang.

Sehingga jam tujuh malam ini, enam daerah terlibat iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Dungun dan Besut dengan 15 pusat pemindahan dibuka.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, setakat ini 87 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) secara berperingkat bermula malam tadi.

Menurutnya, daerah Kuala Nerus merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 134 mangsa dari 29 keluarga dan kesemua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal serta Balairaya Alor Damat.

"Daerah Marang dan Besut adalah antara daerah baharu yang terjejas. Seramai 23 mangsa daripada empat keluarga dari Marang mula dipindahkan sekitar jam 4 petang dan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang.

"Di Besut pula, tiga keluarga melibatkan sembilan mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara Kampung Baharu Kuala Besut manakala di Dungun, sebanyak empat pusat pemindahan telah diaktifkan dengan menempatkan 64 mangsa daripada 15 keluarga," katanya.

Sementara Che Adam berkata, jumlah mangsa di Setiu meningkat kepada 69 orang daripada 17 keluarga dan ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

"Mangsa banjir di Kuala Terengganu juga meningkat kepada 53 mangsa daripada 18 keluarga manakala dua pusat pemindahan telah dibuka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tiga sungai di Terengganu masih berada pada paras bahaya sehingga jam 6 petang tadi iaitu dua sungai di Setiu dan satu sungai di Hulu Terengganu.

Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, Sungai Chalok di Jambatan Chalok dan Sungai Nerus di Kampung Langkap masing-masing merekodkan bacaan 8.86 meter dan 21.45 meter berbanding 9.19 meter dan 21.63 meter pagi tadi.

Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu pula mencatatkan 19.72 meter, berbanding paras bahaya 19.70 meter.