X

Kindly register in order to view this article
!

Loji minyak Arab Saudi terbakar dibedil peluru berpandu

Gambar fail menunjukkan sebuah loji minyak syarikat Aramco di Riyadh, Arab Saudi. - Foto AFP
A
A

RIYADH - Para pemberontak Houthi melancarkan satu serangan peluru berpandu ke atas loji minyak syarikat Aramco di Jeddah, Arab Saudi menyebabkan satu letupan dan kebakaran di sebuah tangki minyak, kata beberapa pegawai.

Serangan itu berlaku selepas negara beraja tersebut menjadi tuan rumah Persidangan Kumpulan Negara 20 (G20) secara maya.

Kejadian itu juga berlaku lebih setahun selepas lokasi-lokasi syarikat minyak Aramco menjadi sasaran serangan sehingga mencetuskan ketidaktentuan pasaran harga minyak dunia.

Kumpulan pemberontak Houthi yang mendapat sokongan Iran menyatakan, mereka melancarkan peluru berpandu Quds-2 ke arah kemudahan pengedaran minyak sebagai tindak balas terhadap peranan Arab Saudi sebagai ketua perikatan tentera yang menyokong kerajaan Yemen dalam peperangan di negara tersebut.

Ia meningkatkan serangan ke atas Arab Saudi iaitu jiran Yemen sejak tahun lalu.

Jeddah terletak kira-kira 600 kilometer dari kawasan sempadan Yemen.

"Satu letupan berlaku akibat daripada satu serangan pengganas yang menyebabkan kebakaran di sebuah tangki minyak di terminal pengedaran di utara Jeddah," kata Kementerian Tenaga Arab Saudi dalam satu kenyataan.

Pasukan bomba memadamkan kebakaran itu dan tiada sebarang kecederaan atau kematian akibat kejadian tersebut, katanya.

Kementerian itu menyatakan penghantaran minyak syarikat Aramco tidak terjejas ekoran kejadian berkenaan.

Yemen terjerumus ke dalam peperangan sejak pemberontak-pemberontak menguasai ibu kota negara itu, Sanaa pada tahun 2014.

Krisis itu memuncak selepas pasukan perikatan tentera diketuai Arab Saudi campur tangan untuk menyokong kerajaan Yemen yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Puluhan ribu orang terbunuh terutamanya orang awam dan berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal akibat peperangan di Yemen. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!