Anggota pentadbiran kerajaan daripada BN sepakat sokong PM

MUHYIDDIN
MUHYIDDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Anggota pentadbiran kerajaan daripada BN sepakat untuk memberikan sepenuh sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam melaksanakan pelan pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat.

Menerusi satu kenyataan, mereka juga telah bersepakat untuk mengukuhkan kedudukan BN di dalam kerajaan sedia ada dan pada masa yang sama akan menyusun gerak kerja bagi memastikan parti itu menjadi suara terkuat di dalam kerajaan tersebut.

"Dalam hal ini, suatu mesyuarat yang telah diadakan bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam telah memutuskan agar ahli jemaah menteri dari BN mengadakan perjumpaan dan bermesyuarat secara lebih kerap.

"Pertemuan bersama Pengerusi BN ini bagi mendapatkan panduan berkenaan pendirian dan dasar parti BN untuk disampaikan kepada jemaah menteri," katanya di sini semalam.

Kenyataan akhbar yang dikeluarkan secara bersama itu melibatkan seramai 20 ahli Parlimen BN yang memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan PN pada ketika ini.

Sehubungan itu, berdasarkan perkara yang dinyatakan itu, mereka percaya rakan-rakan ahli Parlimen BN yang lain akan turut serta memberikan sokongan kepada Belanjawan 2021 bagi memastikan perancangan kerajaan untuk membela nasib rakyat dan memulihkan ekonomi negara dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Menurut kenyataan itu, pandemik Covid-19 yang melanda negara telah memberi kesan negatif kepada keadaan ekonomi rakyat dan negara.

Justeru, katanya, negara memerlukan sebuah pentadbiran kerajaan yang stabil bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan secara teratur dan tersusun.

Artikel Berkaitan:

"Langkah pertama dalam membolehkan perkara ini dapat dicapai adalah dengan memastikan Belanjawan 2021 disokong dan diluluskan oleh ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

"Ini juga adalah selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah menasihati ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021," katanya.

Sehubungan itu, anggota pentadbiran dari BN yang merupakan ahli Dewan Rakyat mengambil maklum cadangan serta pandangan yang telah dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen BN berkenaan Belanjawan 2021.

"Cadangan dan pandangan ini akan diambil kira untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam pada itu, mereka turut mencadangkan agar Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan secepat mungkin sebaik sahaja keadaan kesihatan awam mengizinkan untuk memperoleh mandat rakyat yang jelas termasuk memastikan kestabilan kerajaan yang lebih jitu.