X

Kindly register in order to view this article
!

Ku Li berusaha untuk pulihkan demokrasi, kata Mujahid

Hantaran di Facebook Mujahid hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen tidak kira parti diminta meneliti secara mendalam surat terbaharu Tengku Razaleigh Hamzah yang diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung keabsahan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, beliau berpandangan surat tersebut merupakan sebuah usaha Ahli Parlimen Gua Musang itu bagi memulihkan demokrasi negara.

Beliau berkata, semua ahli Parlimen perlu menjalankan tanggungjawab mereka untuk mempertahankan Perlembagaan negara.

“Pulihkan demokrasi terlebih dahulu. Jika tidak, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berterusan memperolokkan demokrasi dengan menggantikan asas demokrasi berperlembagaan kepada sentimen kaum dan agama serta berselindung di sebalik krisis Covid-19,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.

Mujahid turut menegaskan bahawa Muhyiddin akan berhadapan dengan kesukaran dalam memastikan Belanjawan 2021 sekiranya beliau tidak membuktikan kerajaan pimpinannya mempunyai sokongan majoriti.

“Bagaimana hendak luluskan atau tidak bajet kerajaan sebanyak RM322 bilion sedangkan beliau sendiri gagal membuktikan dirinya layak bergelar Perdana Menteri kepada sebuah kerajaan,” katanya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, tindakan terbaharu daripada ahli Parlimen veteran itu yang menjelaskan sikap beliau kepada jawapan Speaker mengenai usul undi tidak percaya adalah sejajar dengan semangat Perlembagaan negara.

“Saya berasa lega kerana idea untuk memulihkan demokrasi dan sembuhkan negara yang saya bawa dalam kemelut politik negara didokong oleh ahli Parlimen paling kanan daripada Gua Musang.

“Penyelesaian masalah berpaksikan demokrasi berparlimen dan Perlembagaan, bukan main sentimen dan emosi rakyat.

“Dalam Perkara 43 Perlembagaan Negara jelas menyebut syarat menjadi Perdana Menteri mestilah dibuktikan dengan majoriti di Parlimen,” katanya.

Kelmarin, semua ahli Parlimen dikejutkan dengan sepucuk surat daripada Tengku Razaleigh atau Ku Li mengenai usul undi tidak percaya di atas meja mereka.

Dalam surat tersebut, Tengku Razaleigh menegaskan bahawa beliau tidak akan turut serta dalam perbahasan Belanjawan 2021 selagi Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun tidak membenarkan keabsahan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibuktikan.

Tengku Razaleigh menyampaikan hasrat itu kepada Azhar menerusi sepucuk surat bertarikh 19 November lalu yang antara lain mengkritik keengganan Azhar membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

ARTIKEL BERKAITAN: Ku Li tidak ambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2021


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!