'Air naik paras pinggang, baru kami pindah'

Zainal (dua dari kanan) ketika menerima kunjungan dari Azmir (kanan) dan Azhar Elmi (kiri) di rumahnya di Kampung Tasek, Tok Kundor, Pasir Puteh hari ini.
Zainal (dua dari kanan) ketika menerima kunjungan dari Azmir (kanan) dan Azhar Elmi (kiri) di rumahnya di Kampung Tasek, Tok Kundor, Pasir Puteh hari ini.
A
A
A

PASIR PUTEH - “Air naik paras pinggang dalam rumah, baru kami pindah.” Itu kata Zainal Che Mud, 58, salah seorang mangsa banjir dari Kampung Tasek, Tok Kundur di sini hari ini.

Zainal berkata, ancaman Covid-19 yang melanda negara ketika ini membuatkan dia dan keluarga terpaksa berfikir panjang untuk meninggalkan rumah, seterusnya tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) menunggu air surut.

"Sebelum ini jika air naik, kami akan terus berpindah ke PPS. Namun sebaliknya untuk banjir kali ini.

"Tapi, jika paras air terus naik dan mengancam keselamatan nyawa, kami sedia berpindah ke PPS," katanya.

Terdahulu, Zainal dan penduduk di Kampung Tasek menerima kunjungan daripada anggota penyelamat iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh.

Rohana bersama suami dan anaknya menaiki bot yang disediakan oleh APM untuk pulang ke rumahnya selepas membuat pemeriksaan kandungan di klinik berhampiran di Pasir Puteh hari ini.
Rohana bersama suami dan anaknya menaiki bot yang disediakan oleh APM untuk pulang ke rumahnya selepas membuat pemeriksaan kandungan di klinik berhampiran di Pasir Puteh hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Azmir Damiri; Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penolong Penguasa Bomba, Azhar Elmi Mustofar; Pegawai Pertahanan Awam, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat serta Timbalan Ketua Jajahan (Khidmat Pengurusan), Muhammad Fareez Rosli.

Zainal bagaimanapun berkata, dia lega apabila kerajaan telah menetapkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh mangsa banjir di PPS.

Artikel Berkaitan:

Lebih menggembirakan, katanya, kesemua yang terlibat dengan banjir akan ditempatkan mengikut keluarga masing-masing dalam jumlah kecil bagi memastikan SOP dipatuhi.

"Saya dan seluruh ahli keluarga sedia patuh dan mengikut segala SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Rohana Sakri, 38, berkata, dia sanggup meredah banjir sedalam 1.5 meter dengan menaiki bot bagi melakukan pemeriksaan kandungannya yang sudah memasuki empat bulan.

"Saya rasa selamat berada di rumah dalam keadaan sekarang. Lagipun ada kemudahan bot untuk keluar ke klinik berhampiran," katanya yang sedang menunggu kelahiran cahaya mata kedua.

Menurutnya, dia berdoa agar banjir pada kali ini tidak seteruk lalu dan tidak perlu berpindah ke PPS.