Arab Saudi nafi 'pertemuan rahsia' MBS dan PM Israel

Saudi menafikan laporan berlangsung pertemuan rahsia antara MBS (kanan) dan Netanyahu pada akhir minggu lalu. - Foto: Agensi
Saudi menafikan laporan berlangsung pertemuan rahsia antara MBS (kanan) dan Netanyahu pada akhir minggu lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

RIYADH - Menteri Luar Arab Saudi menafikan satu pertemuan berlangsung antara Putera Mahkota, Mohammed Salman (MBS) dan pemimpin Israel pada akhir minggu lalu.

“Saya telah melihat laporan media tentang perkara itu yang berlaku ketika lawatan terbaharu Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo atau @SecPompeo. Tiada pertemuan seperti didakwa dan ia hanya melibatkan pegawai Amerika dan Saudi,” kata Putera Faisal Farhan Al Saud menerusi Twitter semalam.

Terdahulu, media di Israel melaporkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengadakan mesyuarat rahsia bersama MBS di Riyadh pada Ahad lalu beberapa minggu selepas Tel Aviv menjalinkan hubungan diplomatik dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Sudan.

Sejak akhir-akhir ini, terdapat spekulasi yang mendakwa Washington mungkin akan mendesak negara Arab lain untuk menormalkan hubungan dengan Israel sebelum bakal Presiden ke-46 AS, Joe Biden mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari 2021.

Pada Ogos lalu, Netanyahu menyatakan bahawa Tel Aviv mengadakan mesyuarat bersama pemimpin Arab dan Muslim tanpa mendedahkan nama negara terlibat.

Sebelum ini, Riyadh menegaskan pendirian mereka yang berpegang teguh kepada kedudukan Liga Arab untuk tidak menjalinkan sebarang hubungan dengan Israel sehingga konflik bersama Palestin diselesaikan. - Agensi

Artikel Berkaitan: