Ketepikan isu GST, tumpu tuntutan rakyat

Asyraf menyatakan pandangan berhubung isu GST menerusi Faceboonya hari ini.
Asyraf menyatakan pandangan berhubung isu GST menerusi Faceboonya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengetepikan seketika cadangan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebaliknya memberi tumpuan kepada tuntutan dan keperluan rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dua perkara yang perlu dipertimbangkan iaitu isu pengeluaran akuan satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium secara pukal.

"Pandangan saya lebih baik kerajaan fokus dahulu isu yang rakyat minta pertimbangkan hari ini terutamanya pengeluaran akuan satu KWSP RM10,000 sekaligus tanpa mengenakan syarat-syarat ketat yang mengekang dan lanjutan moratorium secara pukal bukan bersasar.

"Isu cukai GST kita bincangkan kembali selepas kesusahan rakyat ketika pandemik koronavirus (Covid-19) ini reda dan diminimumkan," katanya menerusi Facebook hari ini.

Dalam masa sama beliau menyifatkan, cadangan memperkenalkan semula GST ketika rakyat terkesan dengan pandemik Covid-19 adalah tindakan kurang bijak.

"Di kala rakyat susah memikirkan duit di poket makin kurang untuk berbelanja, adalah kurang bijaksana membicarakan mengenai isu cukai untuk mengambil apa yang tersisa daripada poket rakyat," katanya.

Semalam media melaporkan, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB) Research, Kementerian Kewangan (MoF) telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji pelbagai langkah meningkatkan pendapatan, termasuk kemungkinan memperkenalkan semula GST.

Maybank IB Research memetik Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai berkata, langkah-langkah lain termasuklah menganalisis kelemahan dalam rejim cukai dan impak percukaian baharu terhadap ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mengkaji pilihan untuk cukai baharu seperti cukai karbon dan cukai digital, merasionalisasikan insentif cukai, menambah baik pentadbiran cukai serta meningkatkan audit cukai seperti melaksanakan nombor pengenalan cukai dan meningkatkan analisis data.