Najib rela hari mengundi bagi Belanjawan 2021 ditunda

Hantaran Najib menerusi Facebook beliau hari ini.
Hantaran Najib menerusi Facebook beliau hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak rela sekiranya hari pengundian Belanjawan 2021 ditunda selepas melihat peningkatan kes penularan koronavirus (Covid-19) hari ini.

Najib turut menzahirkan rasa kurang senang berhubung pengumuman bahawa mereka yang pulang ke Semenanjung Malaysia dari Sabah tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Menurutnya, jumlah kes yang dikesan dari kategori ‘lain-lain saringan’ masih tinggi walaupun jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah menurun sejak minggu lepas.

“Pada saya, ‘lain-lain saringan’ ini yang paling bahaya kerana ia adalah kes yang tidak berkait dengan mana-mana kluster yang sudah dikenal pasti dan mampu melahirkan sebuah kluster baharu.

"Biasanya ia terdiri daripada saringan bergejala yang mana orang yang sakit setelah dijangkiti meminta rawatan. Ia juga bukan hasil dari pengesanan secara aktif bagi kluster sedia ada atau untuk kontak hubungan rapat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mempersoalkan kewajaran untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk tidak memerlukan kuarantin wajib 14 hari bagi pelawat dari Sabah memandangkan negeri itu masih mencatat jumlah paling tinggi dalam kategori 'lain-lain saringan'.

Walaupun beliau bersangka baik mengenai perubahan syarat itu yang dikatakan tidak berkaitan dengan kepentingan politik, beliau berkata, Malaysia sudah tidak boleh dijejaskan dengan perkara sebegini sepertimana yang berlaku sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.

“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan dulu yang mana Menteri Keselamatan Negara (MKN) tunduk kepada kehendak Bersih dan Teresa Kok, dan membuat keputusan bahawa mereka yang pulang dari Sabah sebelum hari mengundi PRN Sabah tidak perlu disaring atau dikuarantin.

Artikel Berkaitan:

“Akibatnya, gelombang ketiga tercetus di seluruh negara sehingga hari ini," katanya.

Beliau turut menegaskan supaya setiap keputusan yang melibatkan kesihatan rakyat dan ekonomi negara perlu berpandu pada sains dan bukannya kepentingan politik.

“Saya harap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjelaskan keputusan hari ini,” katanya.