X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia catat 2,188 kes positif Covid-19 hari ini

Jangkitan Covid-19 di Malaysia hari ini terus merekodkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 2,188 kes sejak pandemik itu menular di negara ini.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes baharu jangkitan koronavirus (Covid-19) terus melonjak kepada angka tertinggi dengan 2,188 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kes aktif meningkat kepada 14,353 kes.

Menurutnya, jumlah kumulatif bagi jangkitan Covid-19 di negara ini adalah 58,847 kes dan Selangor menjadi penyumbang tertinggi peningkatan kes iaitu 1,623 bersamaan 74.2 peratus.

"Daripada jumlah kes di Selangor, sebahagian besarnya iaitu 1,511 kes terdiri daripada Kluster Teratai, 54 kes saringan kontak rapat kes positif dan 30 lagi adalah lain-lain saringan.

"Pasukan perubatan dan kesihatan awam bantuan telah digerakkan ke kawasan yang terlibat di Selangor bagi membantu segala aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk saringan secara besar-besaran," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Sabah merekodkan 10.6 peratus iaitu 232 kes baharu hari ini.

"Sebanyak 31 kes baharu daripada kluster sedia ada, 131 kes saringan kontak rapat kes positif dan 70 lain-lain saringan.

"Selain Selangor dan Sabah, Perak turut merekodkan 112 kes (5.1 peratus) daripada kluster sedia ada, Kuala Lumpur merekodkan 90 kes, Negeri Sembilan 73 kes, Johor 19 kes, Pulau Pinang 15 kes, Kedah 14 kes, Kelantan enam kes, Melaka dua kes, Labuan dan Sarawak masing-masing satu kes," katanya.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 112 kes positif Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk empat memerlukan bantuan pernafasan.

"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif adalah 341 kes bersamaan 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Berdasarkan ringkasan kes kematian, tiga kes dilaporkan di Sabah manakala satu direkodkan di Pulau Pinang. Kes kematian melibatkan mangsa berumur 41 hingga 84 tahun yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh pula direkodkan sebanyak 1,673 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 44,153 bersamaan 75.0 peratus.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!