Bank sokong inisiatif kerajaan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bank-bank di Malaysia menyokong penuh inisiatif kerajaan untuk membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan menawarkan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar (TRA) kepada peminjam di bawah kumpulan pendapatan B40 dan M40 serta perusahaan mikro.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021 baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa individu dalam kumpulan B40 yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) boleh mendapat penangguhan tiga bulan pembayaran bulanan atau pengurangan sebanyak 50 peratus bagi pembayaran bulanan selama enam bulan.

Sementara itu, mereka dalam kategori M40 yang telah mendaftar di bawah Bantuan Prihatin Nasional (BPN) boleh memilih pengurangan 50 peratus pembayaran balik bulanan selama enam bulan selepas memperoleh kelulusan.

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank Bhd, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, bank akan terus memberi bantuan kepada pelanggannya yang menghadapi masalah kewangan.

Beliau berkata, program Fleksibiliti Pembayaran MBSB Bank untuk Kumpulan Sasaran yang bermula Ogos lepas telah berjaya membantu lebih daripada 2,200 pelanggan dengan memberi moratorium atau pengurangan pembayaran bulanan.

Sementara itu, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dalam satu kenyataan berkata penambahbaikan ini harus dilaksanakan untuk terus memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan, terutama pada waktu sekarang apabila pelanggan mempunyai pilihan penyelesaian kewangan untuk memenuhi keperluan mereka.

Bank Rakyat berkata, pihaknya juga menyambut baik usaha tersebut, khususnya bagi membantu meringankan beban kumpulan yang terjejas seperti kumpulan B40 dan M40 dalam menghadapi kesan daripada pandemik itu, serta menyokong fasa memulihkan semula ekonomi negara.

Ia juga berharap industri perniagaan, terutama perusahaan mikro supaya dapat bertahan dan berkembang walaupun keadaan ekonomi ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank Bhd mengumumkan bahawa kumpulan itu akan terus menyediakan Pelan Bantuan Bantuan Pembayaran dengan proses permohonan yang dipermudahkan.

Kumpulan itu berkata, ia telah meluluskan lebih daripada 98 peratus permohonan yang diterima sejak tempoh berakhirnya moratorium dan yakin proses permohonan dipermudahkan itu akan mempercepatkan respons kepada pelanggan yang meminta bantuan lanjut.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Domenic Fuda berkata, bank menyedari bahawa ia perlu cekap menguruskan permintaan pelanggannya untuk mendapatkan bantuan pembayaran balik kerana ia penting bagi memastikan mereka menerima aliran tunai yang diperlukan untuk menyara keluarga mereka dan meneruskan operasi perniagaan mereka.

"Selain bantuan pembayaran, bank juga memiliki rancangan khusus untuk membantu pelanggan menguruskan hutang kad kredit mereka melalui Pelan Bantuan Pemindahan Kad Kredit yang membolehkan pelanggan mengubah baki kad tertunggak mereka kepada pinjaman berjangka," katanya.

Sementara itu, Bank Simpanan Nasional (BSN) berkata ia akan terus menumpukan perhatian pada keperluan dan keadaan semasa negara berikutan penularan Covid-19 yang telah mempengaruhi ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Pegawai Operasi BSNm Kameel Abdul Halim berkata, dalam masa yang mencabar ini, BSN terus memperkukuhkan usahanya untuk membantu pelanggan daripada kumpulan pendapatan B40 dan M40 serta peminjam daripada perusahaan mikro.

"Bantuan Bayaran Balik Dilanjurkan BSN ditawarkan kepada pelanggan sehingga 30 Jun, 2021. Oleh itu, kami menggesa pelanggan yang belum mendapat bantuan ini untuk segera memohonnya melalui laman web kami," katanya. - Bernama