X

Kindly register in order to view this article
!

Maszlee persoal kelewatan kandungan TV Pendidikan

Maszlee ketika mencelah penggulungan Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin bagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mempersoal jaminan Kementerian Pendidikan mengenai kandungan TV Pendidikan dapat disiapkan setelah tempoh projek itu dilanjutkan.

Bekas Menteri Pendidikan itu juga ingin tahu mengapa syarikat Radius One Sdn Bhd mengambil tempoh begitu lama untuk menyiapkan 25 daripada 800 siri kandungan yang diperlukan.

“Apakah jaminan yang boleh diberikan untuk menyiapkan 700 lebih siri kandungan apabila tempoh dilanjutkan?” soalnya ketika mencelah penggulungan Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin bagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Radzi berkata, projek tender terbuka yang bernilai RM1.92 juta itu mengalami kelewatan kerana terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Beliau memaklumkan tarikh tamat projek itu dilanjutkan dari 30 November 2020 kepada 31 Mac 2021.

Radzi berkata, pada masa ini syarikat terbabit menghasilkan 25 episod video pendidikan yang telah disiarkan dan 63 sedia untuk disiarkan manakala 712 episod lagi masih dalam pelbagai peringkat penghasilan.

Maszlee turut mempertikaikan kadar harga bagi setiap episod kandungan TV Pendidikan itu dibuka jauh daripada harga pasaran.

“Ketika (projek) dibuka, ia dibuka di bawah harga pasaran. Contohnya diberikan untuk satu minit tawaran (dengan) harga RM1,000.

“Untuk satu siri ialah RM2,500. Ini jauh daripada harga pasaran yang mana biasanya harga pasaran tempoh untuk satu minit adalah RM1,000 dan diminta 25 minit (dengan) harga penawaran RM2,500.

"Harga pasaran ialah RM1,000 seminit. Maksudnya RM25,000. Maka syarikat manakah yang berani masuk?” katanya.

Maszlee turut melihat perkara itu sebagai projek yang gagal atau bertangguh atas faktor harga rendah berbanding pasaran itu.

Menurutnya, apabila pemberian satu proses penghasilan rancangan TV Pendidikan itu diberikan pada bawah harga pasaran, maka ia terdedah untuk penangguhan.

“Ini merupakan penggadaian terhadap masa depan anak-anak kita,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!