Tak mengaku buat tuntutan palsu, pecah amanah RM145 juta

Son Hong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 11 pertuduhan pecah amanah dan tuntutan palsu bernilai RM145 juta, antara tahun 2013 hingga 2018. - Foto Bernama
Son Hong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 11 pertuduhan pecah amanah dan tuntutan palsu bernilai RM145 juta, antara tahun 2013 hingga 2018. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat sarung tangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan membuat tuntutan palsu dan pecah amanah membabitkan dana lebih RM145 juta.

Datuk Lee Son Hong, 63, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Son Hong didakwa memperdaya prinsipalnya melalui invois berasingan sebanyak RM2.5 juta, RM4.2 juta dan RM1.68 juta atas nama Tower Success Group Ltd berjumlah RM8.38 juta.

Kesalahan didakwa dilakukan di WRP Asia Pacific Sdn Bhd di Kawasan Perusahaan Bandar Baru Salak Tinggi pada 27 Mac hingga 22 Disember 2015.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah yang dipalsukan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat hingga 11, tertuduh didakwa sebagai seorang ejen iaitu pengarah syarikat, diamanahkan ke atas harta iaitu dana berjumlah RM136.9 juta milik WRP Asia Pacific telah melakukan pecah amanah jenayah.

Kesalahan didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12 Mac 2013 hingga 18 Januari 2018.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding sama, isterinya, Datin Too Sooi Keng, 63, turut didakwa bersubahat dengan tertuduh yang diamanahkan ke atas harta iaitu dana berjumlah RM107.9 juta.

Sooi Keng (dua, kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap tujuh pertuduhan kerana bersubahat dengan suaminya bagi melakukan pecah amanah dana syarikat bernilai keseluruhan RM108 juta antara 12 Disember 2013 hingga 18 Januari 2018. - Foto Bernama
Sooi Keng (dua, kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap tujuh pertuduhan kerana bersubahat dengan suaminya bagi melakukan pecah amanah dana syarikat bernilai keseluruhan RM108 juta antara 12 Disember 2013 hingga 18 Januari 2018. - Foto Bernama

Kesalahan didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12 Disember 2013 hingga 18 Januari 2018.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 409 Kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mencadangkan kedua-dua tertuduh diberikan ikat jamin RM3.5 juta dengan sekurang-kurangnya seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

“Jumlah yang dicadangkan itu adalah berasas kerana mereka mempunyai sumber pendapatan sampingan malah masih memegang jawatan sebagai pengarah di syarikat lain.

“Pihak kami juga merasakan mereka berisiko untuk melarikan diri kerana dua anak mereka menetap serta bekerja di Hong Kong dan United Kingdom,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam, P G Cyril, Datuk D Sethinathan dan Nir Aminahtul Mardiah Md Nor merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin yang rendah.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rozilah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM1.5 juta dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 4 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Semalam, sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 63 tahun itu ditahan jam 9.40 pagi ketika hadir di ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas CEO, isteri bakal didakwa pecah amanah RM140 juta