Anggota trafik parah dirempuh motosikal lari sekatan

Lokasi rempuhan yang mengakibatkan seorang anggota trafik cedera ketika dalam penugasan SJR di Jalan Silibin, pagi tadi.
Lokasi rempuhan yang mengakibatkan seorang anggota trafik cedera ketika dalam penugasan SJR di Jalan Silibin, pagi tadi.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Seorang anggota trafik parah selepas melambung dan terseret akibat dirempuh sebuah motosikal yang cuba lari dari sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Silibin di sini hari ini.

Kejadian sekitar jam 11 pagi itu mengakibatkan Koperal Mohd Aizal Lazim, 36, dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Ipoh cedera di kepala, muka, tangan dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, ketika kejadian, anggota terbabit yang bertugas sebagai 'stopper' sedang menahan kenderaan bagi tujuan pemeriksaan di SJR berkenaan.

Bagaimanapun katanya, secara tiba-tiba datang sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dengan laju dari arah Bulatan Silibin bertindak mengabaikan sekatan jalan raya dilakukan.

"Penunggang berusia 35 tahun itu cuba meloloskan diri dari sekatan polis dan telah merempuh anggota terbabit dari arah belakang menyebabkan mangsa melambung dan berpusing sebelum terjatuh dan terseret sejauh hampir lima meter di atas jalan," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa anggota badan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil.

Katanya, penunggang berkenaan berjaya ditahan dan semakan lanjut mendapati, lelaki itu mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan dadah selain pernah dijatuhi hukuman atas kesalahan mencuri sebelum ini.

"Lesen memandu lelaki itu juga telah tamat tempoh pada tahun lalu manakala insurans dan cukai jalan kenderaan digunakan telah tamat tempoh sejak 2017.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.