Lebih 90,000 pekerja carum SIP diberhentikan kerja

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 95,995 pekerja yang mencarum di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) diberhentikan kerja setakat 13 November lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, daripada jumlah itu 40,766 adalah dalam kalangan mereka yang terlibat dengan sektor penerbangan, perhotelan dan pelancongan.

“Sehingga kini, RM110 juta telah diluluskan untuk pembayaran kepada pemohon SIP daripada sektor itu... jika terdapat sebarang kes kegagalan pembayaran SIP, sila berjumpa terus dengan saya supaya tindakan sewajarnya boleh diambil,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.

Sementara itu, Saravanan berkata, kerajaan menyasarkan 500,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam usaha kerajaan mengatasi pengangguran melalui Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) seperti yang dicadangkan dalam Belanjawan 2021 dengan peruntukan sebanyak RM3.7 bilion.

“Untuk mencapai sasaran ini, tiga inisiatif di bawah Skim JanaKerja telah dirancang yang mana dua inisiatif telah dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Sumber Manusia, iaitu Insentif Penjana Kerjaya di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Program Reskilling dan Upskilling di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan lain-lain kementerian

“Program peningkatan kemahiran dan latihan semula yang disediakan di bawah Perkeso dan PSMB dijangka boleh mengurangkan jurang kemahiran terutamanya dalam bidang kemahiran digitalisasi dan kemahiran lain berpandukan perkembangan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Persidangan dewan bersambung esok. - Bernama