X

Kindly register in order to view this article
!

B40 berpeluang tangguh, kurangkan ansuran bulanan Bank Rakyat

Bank Rakyat
A
A

SHAH ALAM - Bank Rakyat memaklumkan pelanggan daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) boleh memilih sama ada untuk menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan atau mengurangkan ansuran bulanan sehingga 50 peratus selama enam bulan bermula semalam sehingga 30 Jun 2021.

Bank Rakyat dalam kenyataannya berkata, bagi perusahaan mikro dengan jumlah kelulusan pembiayaan sehingga RM150,000 bagi setiap kemudahan, mereka perlu memenuhi kriteria yang telah ditetapkan iaitu perolehan jualan kurang daripada RM300,000 setahun dan mempunyai kurang daripada lima pekerja sepenuh masa.

“Permohonan lanjutan moratorium dan bantuan bersasar sedia ada melalui proses yang dipermudahkan turut ditawarkan kepada pelanggan daripada kategori M40 yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional.

“Pelanggan M40 yang layak hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri berkenaan pengurangan pendapatan isi rumah mereka akibat Covid-19 untuk menerima bantuan.

“Semua permohonan yang diluluskan akan berkuatkuasa dari 1 Disember ini sehingga 30 Jun 2021. Bagi memenuhi kriteria kelayakan, pembiayaan pelanggan juga mesti diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan,” kata kenyataan itu.

Bank Rakyat menyokong penuh inisiatif kerajaan untuk menambah baik Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar yang diumumkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu.

Kenyataan itu berkata, penambahbaikan itu wajar dilaksanakan bagi terus memberikan bantuan kepada yang memerlukan, lebih-lebih lagi kini pelanggan mempunyai pilihan penyelesaian kewangan yang sesuai dengan keperluan mereka.

“Bank Rakyat juga mengalu-alukan usaha sebegini khususnya dalam membantu meringankan beban golongan yang terjejas seperti golongan B40 dan M40 dalam menghadapi kesan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19), sekali gus menyokong fasa 'revitalisasi' ekonomi negara. Ia turut berharap agar industri perniagaan terutamanya perusahaan mikro bukan hanya dapat bertahan tetapi juga mampu berkembang dalam keadaan ekonomi semasa.

“Menerusi inisiatif ini, bantuan tambahan akan diberikan kepada pelanggan Bank Rakyat daripada kategori B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta perniagaan mikro yang mempunyai kemudahan pembiayaan dengan jumlah kelulusan sehingga RM150,000. Pelanggan yang mana pasangannya adalah penerima BSH atau BPR juga layak untuk menerima bantuan ini,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, pelanggan boleh memohon melalui borang elektronik yang disediakan di laman web rasmi Bank Rakyat, www.bankrakyat.com.my, e-mel ke [email protected] (Sila sertakan nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit), hubungi Pusat Panggilan di talian 1300-800-800 atau mengunjungi cawangan yang berdekatan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!