Tiga pasang kekasih mengaku khalwat

Tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang gadis yang dicekup bersama dua lelaki di sebuah bilik hotel antara tiga pasangan yang mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini kerana berkhalwat.

Ketiga-tiga pasangan itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 dibacakan secara berasingan.

Gadis berusia 20 tahun dan pasangannya yang berusia 19 dan 21 tahun dikenakan denda RM2,300 atau dipenjara tiga minggu sekiranya gagal menjelaskan denda.

Dia yang masih berstatus pelajar mengaku bersalah berkhalwat dengan dua rakan lelakinya selepas bilik hotel disewa mereka di Jalan Tok Lam, di sini, diserbu, kira-kira jam 1.30 pagi, pada 16 Januari lalu.

Bagi pasangan kedua yang masing-masing berusia 24 dan 21 tahun didenda RM2,500 atau seminggu penjara sekiranya gagal menjelaskan denda selepas mengaku berkhalwat di sebuah rumah tumpangan di Jalan Tok Lam, di sini, kira-kira jam 11 malam, pada 30 Januari lalu.

Dengan itu, kedua-dua pasangan itu mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pasangan ketiga pula yang masing-masing berusia 20 tahun didenda RM2,500 atau tiga minggu penjara sekiranya gagal menjelaskan denda selepas mengaku bersalah berkhalwat di sebuah hotel bajet, di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini, kira-kira jam 2.55 pagi, pada 1 Mei lalu.

Lelaki yang tidak bekerja itu bersama kekasihnya yang juga seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Kuala Nerus mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan kesemua kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar di hadapan Hakim Syarie.