PAC syor SPRM siasat peranan 'pengantara' pekerja asing

Wong Kah Who
Wong Kah Who
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen mengesyorkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) mewujudkan sistem bersepadu dalam pengurusan dan kawalan pengambilan pekerja asing.

Pengerusi PAC, Wong Kah Who berkata, tidak harus wujud peranan 'pengantara' dalam permohonan kuota pekerja asing kepada menteri.

“PAC mengesyorkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap peranan ‘pengantara’ yang terlibat,” katanya dalam dalam satu kenyataan di Parlimen hari ini.

Beliau turut membentangkan laporan jawatankuasa PAC berhubung aktiviti kawalan pekerja asing yang dikelolakan KDN dan KSM kepada Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, PAC turut mengesan kelemahan yang menyebabkan kecurian dan penyalahgunaan ID Pengguna dalam sistem Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“PAC Parlimen mendapati ID Pengguna telah didakwa dicuri dan disalah gunakan untuk mewujudkan kuota palsu dalam sistem MyIMMs.

“Insiden membabitkan sistem begitu mudah boleh diceroboh menunjukkan kelemahan ketara dalam sistem keselamatan sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara.

“Polis perlu mempercepatkan siasatan terhadap dakwaan kecurian dan penyalahgunaan ID Pengguna dalam sistem MyIMMs," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, 20 laporan polis dibuat sejak tahun 2017 tetapi hasil siasatan belum diketahui.

Katanya, ketika ini dokumen permohonan kuota pekerja asing tidak dapat dikongsi sepenuhnya kerana tidak ada integrasi yang menyeluruh antara melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan MyIMMs.

Menurutnya, KDN dan KSM hendaklah memastikan semua permohonan untuk kuota pekerja asing dibuat melalui permohonan biasa iaitu menerusi sistem ePPAx dan MyIMMs, dengan keputusan permohonan diberikan dalam tempoh munasabah.

"Sistem bersepadu KDN dan KSM akan memastikan adanya kelangsungan data dari satu medan ke medan operasi yang lain merentasi kementerian dan jabatan.

"Siasatan PAC juga mendapati kelulusan membawa masuk pekerja asing melalui permohonan khas lebih tinggi berbanding dengan kelulusan melalui permohonan biasa dan menyifatkannya sebagai 'tidak sihat'.

“Amalan ini juga tidak menepati tujuan asal proses permohonan kuota pekerja asing, iaitu bagi menyediakan saringan kelayakan yang ketat," katanya.

PAC juga mendapati wujudnya kelemahan sistem yang menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dikeluarkan kepada pekerja yang gagal pemeriksaan Bio-Medical dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema).

“Selain itu, tiada rekod disimpan mengenai penghantaran pulang sebahagian pekerja asing yang gagal pemeriksaan Fomema. Ini akan mengakibatkan membawa risiko penularan penyakit berjangkit kepada penduduk tempatan," katanya.

Kah Who berkata, PAC juga mendapati kebajikan tahanan, penghuni serta warga kakitangan imigresen yang bertugas di semua depoh serta penaiktarafan depoh di seluruh negara perlu diberikan keutamaan.