'Saya nampak dia hanyut'

Mohd Syawal (kanan) menunjukkan lokasi terakhir mangsa sebelum hilang selepas mendapat bantuan.
Mohd Syawal (kanan) menunjukkan lokasi terakhir mangsa sebelum hilang selepas mendapat bantuan.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak yang dikhuatiri lemas di Sungai Chepor, di sini dilihat bersama tiga rakan yang lain berada di jambatan berhampiran sungai berkenaan sebelum kejadian.

Saksi kejadian, Mohd Syawal Rozali, 13, berkata, dia melalui jambatan itu melihat mangsa, Muhammad Deniss Ramadhan Amar Fizry, 10, bersama rakan-rakan lain di situ.

Menurutnya, pada awalnya seorang daripada mereka turun ke dalam sungai untuk mengambil selipar yang terjatuh sebelum mangsa bertindak terjun ke dalam sungai bagi membantu rakannya itu

"Saya nampak dia jerit minta tolong dan berpaut pada pokok di tebing sungai selepas dihanyutkan air. Saya kemudiannya pergi mendapatkan pertolongan untuk menyelamatkan dia.

"Tapi lepas sahaja saya kembali kembali ke situ, saya tengok dia dah hilang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Chepor Dalam, di sini hari ini.

Sementara itu, di lokasi kejadian turut kelihatan sepasang suami isteri yang merupakan ibu bapa mangsa.

Lebih memilukan apabila ibu mangsa, Maizatul Nadia Zulkifli, 30, dilihat memanggil-manggil nama mangsa sambil menangis.

Artikel Berkaitan:

Seorang wanita dipercayai ibu mangsa turut berada di lokasi kejadian tidak dapat menahan kesedihan selepas dimaklumkan anaknya dikhuatiri lemas.
Seorang wanita dipercayai ibu mangsa turut berada di lokasi kejadian tidak dapat menahan kesedihan selepas dimaklumkan anaknya dikhuatiri lemas.

Sementara itu, datuk mangsa, Zulkifli Osman, 64, berkata, cucunya dilihat keluar dari rumah menaiki basikal kira-kira jam 9 pagi dan sekadar memaklumkan untuk bersama kawan-kawan.

Katanya, sebelum ini Muhammad Deniss Ramadhan tidak keluar terlalu jauh dari rumah dan hanya ke rumah jiran berhampiran.

"Malam tadi dia tidur dengan saya, tak sangka dari pagi keluar sampai sekarang tak balik. Bila ada orang maklum cucu saya hanyut dalam sungai, saya terkejut sebab tak sangka dia pergi ke situ.

"Sekarang ini hanya doa sahaja yang dapat saya panjatkan agar dia segera ditemui. Saya nak pergi tempat kejadian pun tak mampu dengan keadaan macam ini," katanya yang bergerak menggunakan kerusi roda kerana tidak mampu berjalan.

Terdahulu keluarga mangsa turut menerima kunjungan Pengerusi Foodbank Perak, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi yang juga isteri Menteri Besar Perak.

Dalam kunjungan tersebut, Dr Nomee Ashikin menyampaikan sumbangan peribadi Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selain memberikan sokongan kepada keluarga mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak jatuh sungai ketika selamatkan rakan